Wednesday, April 14, 2010

Pergi Yang Tidak Kembali

Pagi semalam kira-kira pukul 8:00 pagi, telefon bimbitku berdering. Sekilas kulihat nama yang terpapar.

Panggilan daripada Kak Ima.

"Ya, Kak Ima?" Aku terus bersuara.

Tiada hello.
Tiada salam.
Jauh sekali ucapan selamat pagi.

Bukan hello juga di hujung suara. Yang kudengar hanya tangisan anak saudaraku Latifi. Jantungku berdegup kencang.

Abang Long.

Hanya itu yang terlintas di otakku.

Tangisan itu terus berpanjangan. Dalam sedu sedan, anak saudaraku bersuara,

"Ucu, ayah dah tak bernafas Ucu...ayah dah tak bernafas."

Tangisan bersambung.
Luluh hati kecilku. Bukan pada pemergian yang telah lama kujangka dalam redhaku. Tapi pada tangisan anak remaja itu yang kini sah bergelar anak yatim.

"OK." Itu sahaja jawapan pendek yang aku beri.

Terus jemariku menelefon abangku seorang lagi. Dan seorang lagi.
Tidak berjawab. Aku menelefon ke kakak iparku pula. Juga tiada jawapan. Jariku pantas mendail nombor Ain, sepupuku. Juga tiada jawapan.

Ada gangguan talian kah semalam?

Tetapi kemudian kukhabarkan berita sedih itu kepada seluruh ahli keluarga dan mereka yang hampir denganku.

"Hello. Abang Long dah takde."
"Hello, along aku dah takde."
"Ain, Abang Long..." suara aku terhenti. Tidak mampu meneruskan kata-kata.

Sungguh, aku tidak mampu untuk melahirkan rasa kehilangan. Mungkin pada mereka yang bersama denganku ketika itu melihat aku kelihatan tenang, atau mungkin seolah tidak berperasaan. Tuhan telah anugerahkan diriku rasa redha yang sungguh luar biasa. Serta aturanNya seminggu dua ini yang membuat aku rasa kerdil atas kebesaran dan kekuasaanNya.

Pemergian abang sulungku itu adalah antara hakikat kehidupan di alam yang fana ini. Rasa kehilangan di hatiku seolah luntur sekelip mata apabila aku melihat isteri dan anak-anak kecil yang ditinggalkan. Anak kecil yang tidak mengerti hakikat kematian. Tentang erti kehilangan. Tidak mengerti akan ranjau yang ada di hadapan. Corak masa depan yang penuh warna warni ini dan penuh ketidaktentuan. Ah, apalah anak sekecil 6 tahun itu mengerti?

Aku pandu selaju mungkin untuk sampai ke rumah abangku ini. Aku tidak mahu ketinggalan menunaikan fardu kifayah untuknya. Mengajak anak-anak untuk solat jenazah bersama-sama.

Perlahan aku melangkah masuk dan disambut oleh ahli keluarga yang turut berduka. Kubuka kain batik yang menutupi sekujur tubuh yang terbaring kaku di ruang tamu. Lama kurenung wajah yang kelihatan damai, seolah pertarungan hampir setahun itu tidak terkesan langsung pada seraut wajah yang terpejam lena di perbaringan. Kukucup dahi itu, ku belai lembut tangannya yang kaku.

Perlahan kubisikkan kepadanya;

"Long, berehatlah. Jangan khuatir tentang anak-anak. Allah akan pelihara mereka. InsyaAllah, anne akan pelihara mereka. Tenanglah di alam sana."

Dan kucupan terakhir kali dariku.

Innalillahi wa'inna ilaihiraaji'un.
Alongku telah kembali kepada PenciptaNya.

Mencari hidayah di bumi Barakah Part I

Mekah dan Madinah, bumi barakah yang digelar Haramain.  Bumi yang sentiasa dirindui oleh para pengunjungnya. Bumi yang tiada bandingan dek k...