Monday, March 21, 2022

Mencari hidayah di bumi Barakah Part I

Mekah dan Madinah, bumi barakah yang digelar Haramain. 
Bumi yang sentiasa dirindui oleh para pengunjungnya.
Bumi yang tiada bandingan dek keinginan untuk kembali lagi dan lagi.

Hakikatnya, kedatangan ke bumi barakah Haramain ini bukan tentang engkau memiliki duit yang banyak atau sedikit. Ia tentang jemputan dari Yang Maha Esa. Allah jemput kepada sesiapa yang Dia kehendaki dan sesiapa yang mahu untuk ke sini.

Semalam, ketika menghadiri kursus umrah, salah seorang jemaah memberitahu dia sudah tiba di KLIA bulan lalu tetapi tidak boleh meneruskan perjalanan kerana aplikasi My Sejahtera bertukar merah. Ada sahabat yang terpaksa menunda beberapa kali perjalanan kerana Covid-19 yang melanda seluruh dunia. Dunia yang seakan terhenti seketika pada tahun 2020.

Begitulah.
Kita merancang, sedang hakikatnya Allah merancang dan memberikan apa yang terbaik untuk kita semua.

Umrah kali ini, yang dijangka berlepas pada 30 Mac 2022 hanyalah kami bertiga. Sahabatku menyantuni bonda tersayang mengerjakan umrah. Ini bakal menjadi umrah kali ketiga kami in syaAllah, namun umrah Ramadan pertama untuk kami semua.

Kata Ustaz Feisal, Allah kurniakan hidayah disepanjang kita berada di bumi barakah. Namun, adakah hidayah yang diterima itu, dipelihara sebaiknya sekembali ke tanahair?

Allahul Mustaan.
Semoga Allah permudahkan urusan kami, dan grup jemaah umrah kami dan dijemput menjadi tetamuNya yang teristimewa.



Saturday, February 23, 2019

Ladakh


Kau tentu pernah mendengar ulat di dalam batu juga ada rezeki mereka, bukan?



Mungkin entah berapa kali aku culas dalam melihat kepayahan hidup orang lain lalu Tuhan menghantar aku ke bumi Ladakh yang sungguh asing untuk aku pelajari sesuatu tentang kehidupan.

Buminya yang gersang dan tandus dikelilingi gunung-ganang, udaranya kering dan suhunya yang terlampau sejuk pada musim luruh namun Allah anugerahkan mereka dengan kecantikan alam semulajadi yang tak terjangkau di kotak fikiran sebagai hamba.

Mungkinkah rasa syukur dalam diri mereka di celah kesederhanaan hidup kebanyakan mereka jauh lebih tinggi dari kita yang seringkali merungut pada sekecil-kecil perkara yang sepatutnya tidak menyesak fikiran.

Survival mereka sangat luar biasa hanya demi kelangsungan hidup setiap hari.
Aku jadi malu untuk terus meminta pada Tuhan yang Esa pada ketika aku seharusnya bersyukur atas setiap apa yang kumiliki hari ini. Ladakh mendidik aku untuk sentiasa terus merasa cukup pada yang sedikit mahupun banyak.

Maka, nikmat Tuhanmu yang mana satukah yang kamu dustakan?

Thursday, August 3, 2017

Vietnam Trip : Mui Ne, Dalat dan HCMC

"Kau pernah dengar Mui Ne dan Da Lat?"
"Kat mana tu? Tak pernah dengar pun."
"Vietnam. Ada tiket murah RM277. Kau nak ikut?"
"Wow. Nak!"

Semudah itu?
Ya, semudah itu keputusan di ambil untuk mengembara ke bumi Vietnam. Sudah dua tahun kebelakangan ini aku search tiket murah untuk ke HCMC tapi tidak pernah berjaya lalu kesempatan ini aku ambil dengan serta-merta pada tiket yang tidak sampai RM300.

Vietnam bukanlah negeri yang asing untuk aku. Seingat aku, pernah juga 4 kali setahun pergi ke Ho Chi Minh City sehingga apabila berjalan-jalan di kota ini, aku seringkali berpapasan dengan beberapa pemilik butik  yang mengenaliku.  Kesemuanya atas platform "Shopping Trip." hihi Ketika Pak Yahya yang secara kebetulan menghubungiku awal tahun ini, aku segera bertanya tentang Mui Ne dan Da Lat. Katanya, kedua daerah ini tidak popular di kalangan orang Muslim terutamanya dari Malaysia. Tiada masjid dan restoren halal menyebabkan para pengendali pelancongan tidak membawa pelancong Muslim ke sini. Kebanyakan warga Eropah gemar mengembara ke tempat-tempat begini kerana Mui Ne merupakan daerah pesisir pantai manakala Da Lat adalah kawasan tinggi pergunungan. Ia menambah keterujaan aku walaupun kehidupan diulit kesibukan tugas hakiki harian.

Mini Canyon di Mui Ne
Ada Apa Dengan Mui Ne?


Ringkasan negeri-negeri di Vietnam (sumber : wikipedia)

Secara ringkasnya, selama mengembara 6H5M di Vietnam aku rupanya telah menjelajah ke empat Wilayah Vietnam iaitu Da Lat di Central Highlands, Mui Ne di South Central Coast, Ho Chi Minh City di Southeast dan Mekong Delta. Phewww patutlah setiap perjalanan mengambil masa berjam-jam perjalanan.

Perjalanan dari Ho Chi Minh City ke Mui Ne mengambil masa selama 5-6 jam dengan bas. Pada hari kejadian (hihi kejadian katanya), kami tiba di Lapangan Terbang HCMC sekitar jam 10 pagi dan mengambil teksi ke Terminal Mien Dong untuk membeli tiket bas. Ada banyak Tour Operator di sini, boleh pilih apa sahaja jenama bas yang disukai dan kami memilih menaiki bas seawal mungkin untuk segera tiba di Mui Ne. Sedikit tips untuk rakan-rakan semua, jika korang memiliki masa yang terhad aku cadangkan korang sightseeing kota HCMC terlebih dahulu dan mengambil sleeper bus lewat petang untuk menjimatkan masa. Sepanjang perjalanan, kau boleh pilih untuk tidur terus menerus atau makan terus menerus atau makan-tidur-makan sambil menikmati pemandangan. Aku? Makan-selfie-tidur-makan-selfie-termenung. Begitulah aku dan rakan-rakan menghabiskan 5 jam perjalanan di dalam bas. Ada tv ya dalam bas, tapi kau redha je lah takde sarikata dan volume tv tu macam nak ajak kau berkaraoke dalam bahasa yang tidak kau fahami. Takpe, tidur tetap tidur. Makan tetap makan. Selfie juga tidak dilupakan. hehe

Kami tiba di Mui Ne sekitar 6 petang dan terus menyewa motorsikal pada harga 100,000VND/24jam untuk menikmati keindahan Mui Ne yang menyambut kami dengan hujan petang. Tujuan lain untuk mencari satu-satunya restoren halal di Mui Ne ni. Lebih mudah mencari sendiri dengan motorsikal sebenarnya. Selepas early dinner, kami merempit hingga ke malam dan sampai Guesthouse semula dengan basah lencun sebab sesat meredah hujan mencari Hostel :)

Ini kira Prelude.
Nantikan Part I esok lusa bergantung tahap kerajinan.

Tuesday, August 1, 2017

Maafkan Aku Viet!

Ketika mengembara ke Da Lat, salah satu bandar kecil di Vietnam, aku bertemu dengan seorang anak muda yang memperkenalkan dirinya sebagai Viet. Perbualan kami santai dari tempat-tempat menarik di sekita Da Lat kepada mempelajari beberapa dialek Vietnam hingga akhirnya membawa kepada topik keyakinan dan kepercayaannya kepada Tuhan.

"Apa agamamu, Viet?"
"Aku tidak punya agama."
"Isteri dan anakmu?"
"Tidak juga."
"Ibumu?"
"Sama."
"Engkau tidak percaya pada Tuhan?"
"Dulu, datuk nenek moyangku berasal dari agama Buddha. Lama kelamaan mereka tidak mengamalkannya dan akhirnya kami tiada agama."

Aku diam seketika.
Bagaimana aku mahu memulakan bicara tentang Islam? Bagaimana aku mahu mengajaknya untuk kembali mencintai Tuhan?

"Viet, aku Muslim. Aku beragama Islam. Aku mahu mencari kedai Vegetarian. Kau tahu di mana?".

Viet memandangku kaget.

"Kau tak boleh makan ayam? Atau daging?"
"Aku bukan vegetarian. Aku boleh makan daging seperti ayam, lembu dan kambing. Semua Muslim boleh. Cuma sebagai seorang Muslim, haiwan itu perlu disembelih."

Segera aku membetulkan.
Viet menganguk-angguk.

"Maksudnya kau perlu tahu bagaimana haiwan itu mati?"
"Ya. Aku perlu tahu adakah ia disembelih mengikut cara yang agamaku benarkan. Semua haiwan kecuali Pork."

Ah. Aku mengeluh perlahan. Aku sudah menyulitkan seorang lelaki yang tidak mengenal siapa Tuhannya malah menyukarkan dia pula dengan kepayahan untuk mencari makanan. Mungkin dia terfikir sukarnya menjadi seorang Muslim hanya kerana sukarnya mencari makanan yang boleh dimakan.

"Aku akan bawa kalian ke kedai vegetarian Vietnam. Atau kalian boleh makan di restoren India kerana mereka juga ada makanan vegetarian." Viet bersuara setelah berfikir untuk seketika.

Aku mengangguk perlahan dan masih berfikir bagaimana aku ingin bercerita tentang keindahan Islam? Bagaimana aku ingin dia tahu bahawa ada Tuhan yang menciptakan?

"Kita sudah sampai."
Viet bersuara kembali.

Dan perbualan kami tentang agama terhenti secara otomatik.

Hari ini, ketika melihat gambar Viet yang kami ambil sebagai kenangan, aku melirih perlahan.
Maafkan aku Viet kerana tidak mengajakmu kembali kepada agama fitrah ini. Aku berharap ketika Islam sampai dan tumbuh mekar di bumi Da Lat suatu hari nanti, kau masih punya waktu untuk kembali kepada Tuhan yang satu.

Maafkan aku, Viet!

Tuesday, July 11, 2017

Bandung 3H2M - Part II

Hari kedua di kota Bandung, kami hanya sekadar city tour dan food hunting. Seawal pagi, sesudah makan pagi di hotel, kami membuat lintas hormat ke Trans Studio Bandung. Menurut Pak To supir kami, terdapat banyak kisah misteri di sebalik pembinaan taman tema ini. Disebabkan kesuntukan masa dan oleh kerana Trans Studio tidak termasuk dalam itineri aku kali ini, maka aku layankan sahaja bila Pak To mahu membawa kami ke situ.

Walaupun hari ini adalah hari Ahad, kesesakan jalan masih juga ketara. Dari Trans Studio, kami menuju ke Masjid Raya Bandung yang terletak di alun-alun, berhampiran Pejabat Pos Besar Bandung. Masjid yang boleh menampung sekitar 13,000 jemaah ini telah dibina pada tahun 1810 dan telah melalui proses renovasi sebanyak 15 kali sejak pembinaannya. Aku sebenarnya sejak kebelakangan ini memang gemar melawat masjid dalam setiap jadual kembara aku. Asalnya ia bertujuan untuk aku menunaikan solat ketika mengembara dan akhirnya ia menjadi satu kemestian untuk melawat sesebuah masjid walau ke daeraha atau negara mana yang aku lawati. 2 rakaat solat sunat juga adalah bonus kan?

Masjid Raya Bandung memiliki 2 menara berketinggian 81 meter yang boleh dinaiki oleh orang awam. Dengan bayaran sebanyak IDR1500, kami mengambil keputusan untuk menaiki menara ini untuk melihat Bandung skyline dari aras ini. Pemandangan yang cantik, malangnya penyelenggaraan kebersihan kurang dititikberatkan oleh pihak terbabit. Pada pendapat aku, 10-15 minit sudah memadai jika kau ingin melihat pemandangan kota Bandung.

Pandangan dari perkarangan masjid. Kena buka kasut ya. Patutlah semua orang pandang aku masa aku merentas rumput hijau ni sebab selamba pakai kasut, hihi

Kota Bandung dari menara masjid.

Kempen solat Subuh berjemaah. Banyak banner seperti ini di beberapa masjid lain sekitar Bandung.

Aku suka melihat kempen Subuh berjemaah yang aku temui di sepanjang dua hari berkelana di kota ini.

Selebihnya pada hari kedua ini, kami menghabiskan masa di Pasar Baru untuk memberi peluang kepada kakak-kakak ipar aku menyopping. Ini kali pertama mereka ke Bandung jadinya aku layankan sahaja. Kau boleh bayangkan tak ini kali pertama aku tidak sempat untuk pergi ke mana-mana Factory Outlet gara-gara masa yang dihabiskan di Pasar Baru.

Di sebelah malam pula, kami menjejak kasih dengan waris arwah Abah yang masih berbaki di Indonesia. Pertemuan yang menjalin semula hubungan silaturrahim yang terputus sekian lama.

Bandung 3H2M - Part I

Bandung merupakan salah satu destinasi yang hampir setiap tahun aku lawati. Kebiasaannya untuk shopping dan makan-makan. Namun, tahun 2017 membuka ruang mata (dan hati tentunya) untuk melihat Bandung dari sisi berbeza.

Pada Mac 2017 yang lalu, aku kembali ke Bandung bersama kakak-kakak ipar. Dengan menggunakan hashtag Bandung di Instagram, kali ini aku mencari kelainan melihat keindahan bumi Bandung yang tidak pernah aku pedulikan. Jangan kecam aku, kerana sebelum ini aku hanya didedahkan dengan "shopping murah" di Bandung. Paling tidak, aku pernah sekali ke Tangkuban Perahu bersama makcik dan sepupu-sepupuku.

Disebabkan ingin melihat keindahan muka bumi Indonesia ini, aku merancang itinerary secara bersungguh. Booking hotel aku lakukan melalui Agoda.com, kereta sewa dan list tempat-tempat yang ingin dikunjungi.

Kami  menaiki penerbangan paling awal dari KLIA. Seperti biasa, aku dan drama tidak boleh dipisahkan. Entah bagaimana aku terlupa memeriksa jadual ERL. Untuk memudahkan perjalanan, aku memandu dari rumah ke Stesen Sentral Putrajaya, park kereta di situ dan seterusnya menaiki ERL ke KLIA. Kalau kau sanggup untuk bayar parking yang sangat mahal di KLIA, silakan. Alternatif, kau boleh park di Stesen Sentral pada kadar RM4 sehari. Berbaloi lah kan parking untuk 3 hari sebanyak 12 ringgit dan tiket ERL ke KLIA cuma RM9.80 sehala. Atau, naiklah Grab ke Uber ke. Pilihan masing-masing. Oh sebenarnya aku nak beritahu disebabkan tidak memeriksa jadual ERL terlebih dahulu, aku terpaksa memecut 140 kmsj untuk memastikan kami tiba di Stesen ERL sebelum 520 am. Kalau tak, next ERL adalah pukul 6 am dan flight kami pula pada pukul 640 am. Alhamdulillah aala kulli hal. Kami tiba tepat pada masanya untuk menaiki ERL dan AirAsia walaupun terpaksa solat subuh di dalam pesawat. kahkah.

Bandung merupakan kota kedua terbesar di Indonesia selepas Jakarta. Disebabkan masa yang terhad, aku harus bijak memilih lokasi yang ingin dilawati untuk memastikan jadual perjalanan tersusun dengan sebaiknya. Untuk kali ini, aku memilih untuk melihat keindahan Selatan Bandung dan kesemua tempat yg aku lawati adalah arah jalan yang sama. Mudah kan. Orang kata dah alang-alang ke Kawah Putih jangan lupa ke Kebun Teh dan apa sahaja di sekitarnya.

Aku cadangkan kau sewa kereta untuk pergi ke tempat-tempat ini. Tak payahlah nak fefeeling backpackers untuk menaiki pengangkutan awam. Bukan apa, masa tersangat pendek dan kereta sewa sebenarnya lebih murah jika kau pergi dengan beberapa orang yang lain.

Jom layan gambar tempat-tempat yang aku kunjungi.

Kawah Putih


Perkebunan Teh Rancabali

Glamping Camp Site, Situ Patenggang

Taman Air Curug Tilu




Tuesday, January 28, 2014

Cinta Sang Pencipta

Apabila mendengar berita kematian, hatiku di sagat pilu. Acapkali bukan mengenangkan orang yang telah pergi, tetapi mengenangkan nasib diri setelah aku mati :(

Entah bila agaknya, hati berbunga bahagia untuk menemui Sang Pencipta. Yang ada hanya rasa gentar dalam dada kerana dosa yang masih tersisa.

Ya Allah Ya Ghafur, aku pohon maghfirahMu.

Nota : 
Hari ini, seorang sahabatku telah kembali menemui Sang Pencipta. Dia rakan semasa usia kecilku, dan kami bertemu kembali beberapa ketika di usia dewasaku. Dari dia, aku belajar erti perjuangan tanpa lelah. Dari dia, kulihat cinta Sang Pencipta atas setiap ujian yang ada. Berehatlah sahabatku dari lelah dunia, aku doakan perjalanan abadimu disulam bahagia hingga ke syurga.

Thursday, October 17, 2013

Cinta Dalam Hati

Allahu Akhbar
Allahu Akhbar
Allahu Akhbar
Laa Ila ha illallahu wallahu Akhbar
Allahu Akhbar walillahilhamd...

Esok hari terakhir Hari Tasyrik. Luput sudah waktu untuk ibadah Qurban bagi tahun ini. Namun, lafaz takbir ini, tidaklah patut terhenti serta merta. Jiwa akan menjadi tenang dengan kalimah cinta dari Yang Maha Esa. Malah lafaz talbiah yang pelbagai seperti versi Irfan Marki, Opick atau Raihan juga bisa meruntun jiwa. Itu aku. Adakah kalian begitu?

Saban tahun juga, kisah pengorbanan Nabi Ibrahim Alaihi Salam, Nabi Ismail Alaihi Salam dan Siti Hajar Radiallahu Anha diulang-ulang oleh Khatib dalam khutbah Aidil Adha. Benarlah sepertimana kata seorang guruku, kadangkala kisah sama yang diulangcerita memberi impak dan penerimaan yang pasti berbeza. Mungkin kerana faktor kematangan, mungkin kerana penghayatan dan mungkin juga kerana cinta dalam hati.

Hebat sungguh bukan penangan segumpal darah bernama hati? Di tambah pula dengan iman dalam diri. Dan cinta. Masya Allah. Subhanallah.

Apa agaknya usaha kita dalam mencari cinta itu? 

"Ya Allah, aku memohon kepadaMu cintaMu dan cinta orang-orang yang mencintaiMu dan aku memohon kepadaMu amalan yang mendekatkan aku kepada cintaMu. Ya Allah, jadikanlah cintaMu lebih kucintai daripada diriku dan keluargaku serta air dingin.” 

Aku rasa kerdil dan hina. Ada cinta dunia yang masih mendiam di dalam hatiku, bukan di tanganku. Masih menebal perasaan takutkan mati yang sangat tinggi. Petanda cinta belum sempurna, amalan hanya secebis yang ada. Sedang perjalanan akhirat itu terlalu panjang. Jauh yang tak mampu dijangkau mata yang memandang. Walaupun di sudut hati tersangat yakin bahawa janji Allah itu benar, mati itu benar, syurga dan neraka itu benar. 

Allahu Akhbar. Allahu Akhbar. Allahu Akhbar. ÙˆÙ„له الحمد

Friday, September 13, 2013

Dia, Murabbi

Ia perbualan santai di cafe Kolej. Kata seorang kawan, bagaimanalah agaknya Murabbi baru kami nanti? Entah-entah orang Arab. Dan berjambang.

Heh, be careful with what you said, or wish for.

Masuk sahaja krlas, kami saling memandang dan tergelak. Ya, berdiri di hadapan kami seorang Murabbi, guru kami. Dan dia lelaki Arab. Dan berjambang!

Selepas sesi kami memperkenalkan diri masing-masing, Murabbi membiarkan kami pula bertanya kepadanya. Sudah pasti dalam bahasa Arab.

S : Min aina anta ya Ustaz? (Dari manakah anda, ya Ustaz?)
A : Ana min Afghanistan. (Saya dari Afghanistan)
S : Hal anta Taliban? ( Adakah  anda Taliban?)
A : La. antum Taliban. (Tidak. Anda semua lah Taliban) 

Riuh rendah seketika kelas kami. Masakan tidak, tiba-tiba kami pula digelar Taliban.

Murabbi kami, Syeikh Sharib Ahmad namanya. Dia tersenyum melihat gelagat kami. Perlahan dia bersuara, kali ini dalam bahasa Inggeris pula.

S : What is the meaning of Talib?
A : A student.
S : Good. If many students? Say more than three?
A : Err...Talibats? Taliban?
S : Na'am, Taliban. Antum Taliban, sohih?

Berderai gelak tawa kami. Masing-masing menuding diri Taliban. Sebegitu mudah kami memahami maksud pejuang Taliban dan mengapa kumpulan itu menggelarkan diri mereka begitu. Tidak perlu google.

Jujurnya, ada rasa kecewa di hati kami apabila guru yang diharapkan mengajar kami, tidak berdiri di hadapan kami.
Jujurnya juga, kami masih berharap guru berbangsa Melayu untuk mengajar kami.
Bukan racist, tetapi lebih selesa barangkali.

Tapi perancangan Tuhan itu maha bijaksana. Menjangkau apa yang kami rasakan adalah yang terbaik untuk kami.
Kun fayakun.

Tiga bahasa digunapakai di sepanjang pembelajaran kami.
Bagi yang lemah bahasa Arab seperti aku, banyak perbendaharaan kata difahami.
Bagi yang mungkin lemah bahasa Inggerisnya, ia seperti serampang dua mata. Berpeluang pelajari dua bahasa serentak.
Bagi Murabbi kami yang sangat sedikit pengetahuan bahasa Melayunya, ia juga peluang untuk menambah kosa kata.

Murabbi tertawa, mendengar sebutan Arab sebahagian besar kami.
Kami juga tertawa, mendengar sebutan pelat Melayunya.
Tertawa juga apabila pelbagai slang bahasa Inggeris dilantunkan sesama kami.

“Wahai manusia, sesungguhnya kami telah ciptakan kalian dari lelaki dan perempuan dan kami telah jadikan kalian berbangsa-bangsa dan bersuku-puak agar kalian saling berkenalan. Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Mendalam PengetahuanNya”  (Hujurat :13)

Harmoni.
Ia bukan satu kebetulan. Ia adalah asbab untuk kami saling mengenali bahasa dan bangsa. Juga untuk saling menghormati. Semuanya atas tujuan yang sama - menambah ILMU. Moga-moga ia menjadi ilmu yang bermanfaat bukan sahaja untuk diri sendir tetapi untuk orang-orang di sekeliling.


Friday, September 6, 2013

Jemputan Eksklusif Sebagai VVIP

Seringkali, kita melihat para kehormat diberi layanan istimewa sebagai seorang VIP atau barangkali juga VVIP. Kita pula? IP (Important Person) pun kadangkala belum tentu.

Ini bukan pokok persoalan yang ingin aku perkatakan. Tetapi ia tentang bagaimana menjadi hamba berstatus VIP di sisi Tuhan yang Esa. Ia boleh dicapai oleh aku, kamu, jiran sebelah rumah, rakan sepejabat malah sesiapa juga selagi dia bergelar manusia yang beriman. Yang bertaqwa. Bukankah itu impian kita semua?

Ia tidak susah. Malah tidak juga mudah. Siapa VIP yang aku maksudkan?

Dari kacamata aku dan ilmu yang tidak sempurna ini, para VIP ini ialah orang-orang yang bangun di sepertiga malam. Di kala orang lain lena diulit damai malam. Bermunajat, semata-mata mencari redha Allah Ar-Rahman Ar-Rahim. Ia satu-satunya waktu eksklusif antara kita dan Dia. Dan ia anugerah untuk hambaNya yang terpilih. Bukankah itu juga rezeki yang tidak diberikan kepada setiap kita ini? Hanya mereka berstatus VIP sahaja kan?


Dan bukankah Allah itu sangat dekat dengan kita? Bicaralah apa sahaja di sepertiga malam. Di waktu susah dan senang.

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka katakanlah sesungguhnya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan doa orang yang memohon apabila ia memohon kepadaKu. Maka hendaklah mereka memenuhi perintahKu, dan beriman kepadaKu agar mereka mendapat petunjuk" (Al-Baqarah : 186)

"...Dan kami lebih dekat kepadanya dari urat lehernya" (Qaf : 16)

Subhanallah.
Alhamdulillah.
Allahu Akhbar.

Aku ingin menjadi VIP itu. Sudah pasti, ia satu mujahadah yang hebat untuk memulakannya. Berjuang melawan nafsu dan bisikan syaitan yang durjana. Kemudian nanti, bersungguh pula untuk istiqamah, menjadikannya ibadah berterusan selagi hayat dikandung badan.

Untuk apakah semua ini? 
Cinta. Itu barangkali ungkapan yang paling tepat.

Kamu pula, bagaimana?

Tanyalah iman dalam diri. Semoga iman dan cinta itu bersatu, menjadikan kita VVIP untuk bertemu dengan kekasih hati, di syurga firdausi.

Sungguh, Allah Maha Mengetahui.


Tuesday, July 23, 2013

Cinta Tanpa Syarat

Subhanallah.

Itu kalimah pertama yang terbit dari bibir apabila ustaz mengajak kami mentadabbur Al-Quran dari sudut bahasa. Ia ilmu baru di sepanjang lebih tiga puluh tahun hidupku. Janji Tuhan itu benar, tidak ada jalan lain untuk mencintaiNya selain dari jalan ilmu. Aku jatuh cinta instantly apabila ustaz mengajak kami untuk berfikir bahawa ayat-ayat Al-Quran - binaan suku katanya, susunan ayatnya, malah di setiap kesinambungan cerita itu ada rahsia yang sungguh-sungguh indah. Ayat-ayat cinta dari yang Maha Esa. Bukankah begitu?

Ia sebuah cerita ringkas yang dikaji ketika waktu rehat. Tentunya, ini adalah saat yang ditunggu-tunggu oleh kami semua. Kejahilan rupanya telah lama bersarang dalam dada.

Melihat surah al-Fatihah, ustaz mengajak kami berfikir sejenak kalimah Basmallah. Kemudian menyusuri bait-bait ayat sehingga ke ayat keenam. Bagaimana yang dikatakan jalan yang lurus. Hidayah? Petunjuk? Yang bagaimana yang dimaksudkan itu?

Okay, jom kita belek terjemahan surah Al-Fatihah;


Hampir kesemua kami menjawab jalan lurus itu berkait rapat dengan ayat terakhir surah ini. 

"Benar, itu benar. Tetapi yang bagaimana  dimaksudkan dengan orang yang telah dikurniakan nikmat itu. Nikmat apa?" tanya ustaz.

Kami bagaikan anak kecil yang berlumba-lumba menjawab apa sahaja yang terlintas di fikiran. Tidak kisah samada betul atau salah. 

"Allah jawab nikmat itu ialah orang yang beriman dan bertakwa. Bagaimana yang dimaksudkan dengan orang bertakwa? Nah, mari kita lihat surah berikutnya" 


Serta merta ada oooo.... Ha'ah laaa.... dari kami.

"Setelah Allah berikan nikmat iman itu, apa pula seterusnya?"

Bila dah part ni, kami tak berlumba dah. Makin ketara kejahilan kami terhadap Al-Quran yang selama ini dibaca. Baca tanpa ilmu.

"Allah tahu kita semua akan lalai dan leka. Lalu, dalam surah berikutnya, Allah turunkan ayat ini kerana Allah Maha Mengetahui."


Subhanallah. Subhanallah. 
Tiada kata seindah bahasa. Tiada bahasa seindah Al-Quran.

"Belajarlah bahasa. Fahami bagaimana susunan kata itu dibina. Barulah nanti, ayat-ayat ini akan menggetarkan jiwa."
Kata-kata akhir dari ustaz bagai terngiang-ngiang di telinga hingga ke hari ini.

Ia masih terlalu awal untuk kami benar-benar memahami bahasa Arab ini. Tidak mengapa, sekurang-kurangnya ia langkah pertama untuk kami mengenali diri. Dan untuk mengenali diri, aku yakin...kita harus terlebih dahulu mengenali Pencipta yang menciptakan diri ini.

Wallahu'alam.

Monday, July 1, 2013

Al-Lughatul Arabia

Gadis Jordan di sebelahku menyapa. Bertanya soalan agaknya. Ku tutup AlQuran yang sedang ku baca. Dan tersenyum memandangnya.

Aku : Saya tidak boleh berbahasa Arab.
Gadis itu : Eh? Kenapa tak boleh? Tapi kamu boleh membaca Al-Quran.
Aku : Ya, saya boleh membaca tapi saya tidak boleh bertutur.
Gadis itu : Habis tu, bagaimana kamu memahami apa yang kamu baca?*

* dialog setelah di alihbahasa.

Terasa seperti diriku dilempang laju-laju. Bersungguh aku menunjukkan kitab tafsir yang ku baca. Dia masih keliru. Soalannya masih berkisar kenapa aku boleh membaca Al-Quran dengan baik (mengikut perkiraannya) tetapi tidak memahami apa yang di baca. 

Pertemuan singkat itu benar-benar membuka minda dan hatiku. Di sepanjang usiaku, kalimah-kalimah ini melantun dari bibirku, namun hanya lewat kebelakangan ini sahaja aku mula mengintai dan mencari apa yang tersurat dan tersirat. Allah ya Rahman, segala puji untukMu yang memberikan ilham dan keinginan untukku mempelajari bahasa ini.
Bahasa Al-Quran.
Bahasa syurga.
Kalamullah.

"(Dan) Sesungguhnya Kami mengetahui mereka berkata: 'Bahawasanya Al-Quran itu diajarkan oleh seorang manusia kepadanya (Muhammad). Padahal bahasa orang yang mereka tuduhkan (bahwa) Muhammad belajar kepadanya (adalah) bahasa 'ajami (bukan-Arab), sedangkan Al-Quran itu dalam bahasa Arab yang jelas" (Surah An-Nahl :103)

Perbualan santai itu telah 4 tahun berlalu. 
Impian itu tidak pernah pudar, apalagi terpadam.
Benar, ia lahir dari rasa cinta. Moga-moga cinta itu akan membawaku ke Syurga.

Aku mohon maghfirahMu Ya Rabb.

Saturday, June 22, 2013

Back to school

Memasuki kampus hari ini, sungguh-sungguh mengimbau kenangan lalu. Sejurus melepasi pak guard di pintu masuk UM pagi tadi, tanpa sedar airmata mengalir seketika. Teruja barangkali. Airmata gembira? Alhamdulillah, bersyukur kerana Allah berikan nikmat masa untukku. Harap-harapnya ia akan menjadi ilmu yang bermanfaat.

Day 1 - Kalut di pagi hari, kelas bermula tepat jam 830am. 
Ok, biasalah aku lambat. Tercari-cari fakulti yang letaknya jauh di hujung dunia.  Masa tu lah nak masuk kelas, masa tu juga lah terhegeh-hegeh nak mendaftar. Lagipun hujung minggu kan adalah waktu untuk ME Time katanya. 

Heh, rupanya menuntut ilmu itu besar sungguh pengorbanannya. Aku memang respect dengan kekawan yang ada semangat kental untuk belajar. Lebih-lebih lagi di usia sebegini. Malas, nafsu tido, rasa teruja berperang sesama sendiri.

2 bulan yang bakal mengujakan diriku, insya Allah. 

Tuesday, July 24, 2012

Lirik Cinta

Bicara hati di kelam malam yang sunyi...

Aku mencintaimu 
Pada setiap hembusan nafasku
Aku merinduimu 
Pada setiap denyut nadiku 
Aku mencarimu dalam sedar dan lenaku 

Lirik cintamu berirama dalam jiwaku; 
Jika mereka bertanya tentang aku 
Katakanlah 
Bahawa aku adalah dekat

Monday, August 22, 2011

Ramadhan # 22

[1]
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,
[2]
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?
[3]
Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
[4]
Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);
[5]
Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

(Al-Qadr : ayat 1-5)

Monday, March 21, 2011

Family Trip

Cuti Sekolah datang lagi.

Kali ini kami 4 keluarga bergabung untuk cuti-cuti Malaysia. Destinasi adalah Bukit Gambang Resort City. Bayangkan nak uruskan 20 orang serentak! Kanak-kanak lah yang agak memeningkan dengan pelbagai karenah dan ragam.

Main bersama-sama.
Kemudian bergaduh sesama sendiri.
Menangis juga bersama-sama.
Sesaat kemudian bergelak ketawa kembali.

Ah, dunia kanak-kanak yang tidak mengenal erti hidup sebenarnya.



Berjimbara
Kami sampai di Gambang sekitar 2 p.m. Selepas selesai urusan check-in, kami meneruskan perjalanan ke bandar Kuantan dan seterusnya ke Teluk Cempedak. Tujuan asal ingin menikmati keindahan laut, tapi anak-anak ini tanpa berlengah terus terjun dan mandi laut!

Melihat ombak yang menderu-deru segera mengingatkan aku badai Tsunami yang menghempas Jepun dan meragut ratusan nyawa. Ombak, sama seperti api. Kecil menjadi kawan, besar menjadi lawan.

Aku gembira melihat anak-anak ini bergelak ketawa gembira. Percutian yang aku harap memberi memori indah dalam.

Sungai Pahang & Makan Malam
Malam itu, kami meronda seluruh bandar Kuantan. Melepak seketika di tepi Sungai Pahang dan malam nya kami ke Tanjung Lumpur untuk makan malam. Kedai "Ana Ikan Bakar Petai" menjadi pilihan kami. Ok lah, not bad. Ikan bakar sambal yang diletak petai. Ramai sangat yang amat umat yang datang, kami terpaksa tunggu lama.

Bukit Gambang Resort City

Ini kali pertama aku melihat kawalan ketat di pintu masuk Water Park. Pekerja Resort memeriksa beg untuk memastikan TIADA makanan di bawa masuk ke dalam. Yelah, kekadang kita berjaya je seludup makanan masuk ketika menonton wayang kerana tiada pekerja yang memeriksa, tapi abaikan cita-cita menjadi penyeludup jika ke BGRC.

Bayaran tiket adalah RM21.90 untuk orang dewasa, kanak-kanak 12 tahun ke bawah adalah RM14.90. Kanak-kanak ribena? Masuk adalah percuma sekiranya skala ketinggian sama seperti penguin...errr 90cm ke bawah, seperti Adam ;D


Kami tidak lama berendam di dalam. Sepupu aku membawa anak kecil berusia 6 bulan dan ibu yang dah berusia hampir 60 tahun. Faham-faham sahajalah. Tak betah untuk menunggu lama. Kalau tidak, aku rasa kami semua akan mandi manda di dalam sehingga di halau keluar hihihihi

Percutian yang ringkas dan pendek tetapi meninggalkan kesan.

Wednesday, March 16, 2011

A Conversations

Conversations betwen A and AA:

"Have you been to China?"
"Yup"
"Owh...when? Which part?"
"Hong Kong!"

Yeah, you heard (read) it right.
I went for a short trip to Hong Kong last weekend *grin*

Planning another short trip to Bukit Gambang Resort City this coming weekend.

Stori mori later.

Tuesday, February 15, 2011

Mencari Erti Cinta

Ketika zaman kanak-kanak, apabila dikaitkan sahaja dengan sambutan maulidur rasul, nasyid tentang kelahiran nabi pasti ada dalam setiap sambutan.

Malam isnin subuh yang indah
12 rabiul awal yang cerah
20 April Tahun Gajah
Lahirlah zuriat dan shahadah


Mencari Cinta

Seingat aku,pengenalan sirah nabi bermula sekitar umur 9tahun (darjah 1 untuk pelajar berusia 9 tahun bermula untuk sek agama rakyat di johor). Subjek Tarawikh (sekarang dikenali sebagai Sirah) antara silibus awal aku belajar tentang kelahiran rasul,salasilah baginda (ibu dan ayah, datuk dan bapa saudara Nabi). Tentang sifat-sifat Nabi, sifat Al-Amin dan segala sejarah awal kerasulan nabi Muhammad s.a.w. Meningkat remaja, sirah itu dipertingkatkan dengan peristiwa isra' dan mi'raj, pembukaan kota Mekah sehinggalah kisah kewafatan Nabi.

Itu silibus sekolah. Kekal dalam ingatan tetapi tidak penah aku memahami maksud cinta. Acapkali ustaz/ustazah menanamkan dalam diri untuk cintakan Rasul. Bagaimana? Cinta aku kepada Rasul? Perasaan itu tetap ditakuk sama sehingga usia aku meningkat ke alam dewasa. Sambutan Maulidur Rasul disambut kerana ingin meraikan kemeriahannya bersama rakan-rakan sewaktu bergelar mahasiswa. Berpakaian warna Merah sebagai mewakili kolej. Walaupun berselawat mengelilingi seluruh kampus hampir setiap tahun, roh cinta itu tidak pernah terbit. Kemenangan pakaian/perarakan tercantik menjadi kenangan indah. Jahil? Tidak, kerana sirah nabi tetap tersemat di minda, tapi bukan di hati.

Ia kekal begitu bertahun-tahun lamanya.

Bagaimana mahu mencintai orang yang tidak pernah aku temui? Suatu ketika, perasaan ingin mencari cinta berputik lalu aku membeli buku setebal 3 inci untuk menyusuri kembali sirah kekasih Allah itu. Bukan satu, tetapi dua.


kredit foto : al-Fikrah.net

Buku itu kekal berhabuk di raknya. Sesekali aku bersihkan kerana aku alergik debu.

Tak Kenal Maka Tak Cinta?

Aku sudah kenal. Tetapi di mana cinta itu?

May 2009, Allah beri kesempatan untuk aku menjadi tetamuNya. Berpeluang untuk mengembara ke Tanah Haram Mekah dan Madinah. Aku ingin mencari keredhaan sebagai hambaNya. Di situ, aku temui CINTA yang tidak pernah aku rasakan sepanjang 30 tahun aku bergelar umatnya.

Berdiri di bumi yang beribu tahun yang lalu menyaksikan kelahiran, kerasulan, suka dan duka perjuangan nabi menyedarkan aku tentang cinta yang tidak pernah wujud itu. Sepanjang 10 hari di sana, aku mula merasakan kehadiran cinta itu. Kemuncaknya adalah ketika aku menaiki Jabal Nur. Melihat sayup-sayup dari jauh sinaran Masjidil Haram dari puncak bukit. Aku membayangkan nabi berjalan kaki sahaja. Ketika itu lebih kurang 12 tengah malam. Angin bertiup perlahan. Damai. Itu yang kurasakan. Aku sujud syukur di tempat nabi bersujud. Terasa seolah dahi kami bertemu pada batu bukit yang gelap tapi disinari cahaya malam. Kepayahan aku mendaki, merasai sendiri kepenatan perjalanan dari mekah-madinah-mekah (walaupun menaiki bas), menerbitkan rasa yang entah di mana sebelum ini berada.

Perasaan itu sukar digambarkan. Kutitip kalimah:

"Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu Pesuruh Allah"

Dia Muhammad.
Dia Kekasih Allah.
Dia Pemberi syafaat.

Berkata Malaikat Israfil a.s :
“Mereka yang berselawat kepadamu akan aku sujud kepada Allah dan aku tidak akan mengangkat kepalaku sehingga Allah mengampuni orang itu.”


Hari ini adalah Sambutan Maulidur Rasul untuk tahun 1432H.

Monday, February 14, 2011

Universal Studio Singapore (USS)

Aku memang sengaja untuk menulis secara backdated. Sekadar berkongsi pengalaman aku mengembara di bumi Tuhan, sebagai catitan peribadi. Melihat dunia dari kacamata aku, dan dari perspektif aku. Mungkin ada yang sama dengan orang lain. Mungkin, penilaian yang berbeza. Segalanya mungkin.

Dah lama aku tidak bercuti menaiki bas beramai-ramai. Maksudnya, macam rombongan bas sekolah. Bukan. Bukan Geng Sekolah. Tapi geng Ofis. Macam tak percaya aku kembali lagi ke Singapura, walau kengkononnya nak datang lagi 10 tahun kemudian. Kali terakhir aku pergi ke sini ialah December 2009, ketika itu Universal Studio masih lagi dalam pembinaan. Cepat betul masa berlalu kan?

Perjalanan kami bermula dari Office HQ kami di Taman Melawati (kan aku dah kata ini Geng ofis, tentulah berkumpul di ofis). Entah di mana silapnya, perjalanan kami lewat dari waktu yang dijanjikan. Ada beberapa persinggahan awal sebelum destinasi pertama kami di Johor Bahru. Bas menyusur laju ke arah Selatan, berhenti seketika di Sungai Besi, di Seremban dan di Ayer Keroh (untuk amik penumpang dan solat). Kemudian tak berhenti-henti hingga ke JB. Kami makan malam di Danga Bay.

Keesokan harinya, seawal pagi kami telah bergerak menuju ke Second Link (Tuas) untuk ke Singapura. Hujan mengiringi perjalanan kami pagi itu. Kalau hujan berpanjangan, alamatnya memang lah mematikan segala mood yang ada. Hotel 88. Di situlah kami menginap. Drama? Heh, kalau tiada drama tentulah tidak seronok. Lagilah aku ni Drama Diva? Hahaahahahahhaa tapi aku malas nak cerita di sini. Cuma pada pendapat aku, setiap orang harus bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan. Ketidakpekaan pihak agensi menguruskan kami, bagi aku adalah sesuatu yang mengecewakan. Eh, tak nak cerita pasal itu. Nanti mood menulis juga menyongsang dari tujuan asal.

Menurut cerita, bas dari Malaysia tidak boleh sewenang-wenangnya berjalan ke sana-sini di Singapura. Disebabkan itulah kami terpaksa bertukar bas. Tourist guide kami pula tidak banyak membantu dalam menguruskan kami. In fact, ini kali pertama juga dia pergi ke Universal Studio! Kami dikehendaki menaiki LRT untuk ke Universal Studio. Dah sama lah kaedahnya dengan try & error masa aku pergi ke Sentosa Island setahun yang lalu. Kebanyakan dari kami merungut-rungut tidak puas hati. Dah sampai di Universal Studio, tiket masuk juga belum di beli. Mengeluh. Dan membebel tidak puas hati. Alamak, aku sepatutnya tidak membebel mengenai ketidakpuasan ini kan? *sigh*

Ok, kita cerita sahaja kenangan di Universal Studio. Hujan terus sahaja membasahi bumi. Tanpa henti. Perkara pertama yang kami buat apabila dah 'check-in' Universal Studio ialah mencari kedai untuk makan. Alhamdulillah, kepekaan kerajaan Singapura tentang sensitiviti halal-haram makanan bagi orang Muslim harus di puji. Dalam Map yang diberikan, ada beberapa kedai yang telah diiktiraf halal oleh MUIS (Majlis Ugama Islam Singapura). Di pintu kedai pun ada juga diletakkan logo halal. Ada sorang minah Arab ni bertanya kat aku adakah kedai yang kami masuk itu halal, kerana dia tengok kami mengorder makanan. Keyakinannya hanya kerana kami memakai tudung. Hmm, aku rasa aku sempat memberitahu dia untuk merujuk kepada USS map. Sempat juga aku bertanya kalau-kalau ada surau di USS ni, menurut salah seorang pekerja, surau masih lagi di dalam pembinaan. Aku harap, ia benar-benar ada untuk memudahkan Muslims menunaikan tanggungjawab.

Secara jujurnya, USS bukan jiwa aku. Atau sebenarnya, hujan telah mematikan perasaan aku? Entahlah. Aku tak berapa teruja untuk bermain itu ini. Family yang ada kids memang really enjoyed. Or perhaps USS is the best place to bring your kids. To have fun. Pun begitu, sempatlah juga aku menaiki Mary Go Round, dan roller coaster. Selebihnya, kami melihat 3D movie, pembikinan filem ala Hollywood, dan melihat-lihat kawasan sekitar dan berjalan tanpa hala tuju. Apabila pergi mengikut pakej rombongan, perkara paling tidak dapat dielakkan ialah MENUNGGU. Kami diberi masa selama lebih kurang 4 jam untuk menikmati (read : merayau) di dalam USS ini. Suka atau tidak, kenalah juga habiskan masa di situ. Aku tidak kisah menunggu kerana ini adalah masa terbaik untuk aku membaca buku. Berjaya juga aku habiskan novel Remember Me :)

Malam itu, kami pergi ke Mustapha Centre. Kedai ala Mydin di Singapura. Di buka 24 jam. Tiada apa yang aku beli, cuma tali pinggang dan penunjuk kiblat. Dan kemudian MENUNGGU.

Keesokan harinya (Hari Ketiga), kami ke Orchard Road. Sekali lagi, proses berjalan tanpa hala tuju. Orchard Road bukan 'dunia' aku. Kami menghabiskan hampir separuh hari di sini. Tiada apa-apa yang dilakukan selain meninjau, berjalan ke HRC dan melepak. Dan MENUNGGU.

Tengahari, kami bergerak pulang ke Johor Bahru sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.

Home is where the HEART is.

Next Trip,
Ho Chi Minh City ;D

Sunday, February 13, 2011

Pengalaman Pertama Untuk Trip Keempat di HCMC

Ini merupakan kali keempat aku ke HCMC. Jangan kau tanya kenapa, tapi ini adalah salah satu syurga shopping untukku :)

Kali ini aku pergi berempat. Percutian 3H2M kami seperti biasa ditemani oleh Pak Yahya. Mungkin kehadiran incik Hafiz, perjalanan kami di kota ini agak berlainan dari kebiasaan. Banyak kali pertama untuk kesekian kalinya.

Kali pertama kami berpeluang (read : terpaksa) menaiki bas awam di sini. Walaupun sebenarnya jarak dari China Town ke Bin Tay Market sekadar 5 minit (itu kata pak yaya...dia speed gaya Carl Lewis agaknya)...aku rasa lebih kurang 15 minit jika berjalan kaki gaya kak limah balik ke rumah hihi (tapi sudah tentu tidak sama sekali dalam kamus hidup aku. Better than cik ijimon lah for sure) Hiks. Di celah kesibukan warga HCMC mencari rezeki dan kesukaran mendapatkan teksi, Pak Yahya menahan bas. Itu sebenarnya punca utama. Murah! Tiket untuk 5 orang hanya VD20,000.

Kali pertama juga kami ke HRC Saigon, dan mengambil peluang ke Pejabat Pos Besar HCMC. Oowh, sebenarnya kami ditipu Pak Yahya yang berulang kali memberitahu jarak antara HRC dengan hotel kami tidak jauh. 5 minit sahaja (katanya). Agaknya, semua tempat pun memang 5 minit sahaja kaedahnya. Menurut Pak Yahya, Pejabat Pos ini ketika zaman perang merupakan sebuah gereja. Aku masuk untuk meninjau-ninjau apa yang ada di dalam. Orang lah kan yang ramai nak berurusan. Pelancong-pelancong juga agak ramai. Tourist Attraction barangkali.

Kata pak yaya, disebabkan orang Malaysia tak suka berjalan, kebanyakan teksi tidak mahu mengambil penumpang jika jarak perjalanan tak lebih radius 5km. Hiks, sebenarnya lokasi hotel kami tersangat strategik, boleh berjalan kaki sahaja hampir ke semua 'shopping spot' utama. Tetapi? *geleng TIDAK bekali-kali'.

Kali pertama juga pak yaya membawa kami ke kampungnya (dia nak tunjuk rumah dia benornye) in which aku agak surprise lah kerana selama ini aku membayangkan rumah pak yaya di kawasan setinggan yang comot dan kotor. Kiranya pak yaya ni orang 'ada-ada' lah kalau tengok keadaan rumah. Hello, dia baru sahaja beli Van Mercedes berharga RM150K yang dibayar Cash. Ko ada? Nan ado kan?

Kami bersarapan mee sup di gerai berhampiran. Dan roti cicah sup. Dan air kopi...*drooling* Hampir kesemua penduduk di situ adalah Muslim Vietnam. Ada sebuah masjid tidak jauh dari rumah pak yaya.

Rutin sama

Rutin kami ke HCMC tetap sama setiap kali. Dari hari menjejakkan kaki hingga ke hari pulang, tiada lain aktiviti kami selain shopping! ;D

Hari pertama selepas check in kami terus bergegas ke MySang amik ukuran badan kemudian dengan segera ke Ben Tanh market untuk membeli kain utk buat baju/blouse/seluar/skirt. Kemudian bergerak ke Hong Anh.

Hari kedua selepas sarapan pergi ke China Town dan Bin Tay market untuk beli kain pada harga yang lebih murah, letak beg d hotel dan terus memecut ke Halal Saigon untuk makan tengahari. Petang adalah waktu untuk ke butik (Hong Anh, Mai Saigon) atau berjalan-jalan tanpa hala tuju. Malam adalah waktu untuk cuci rambut dan facial (hanya USD4). Balik ke bilik untuk menyusun barang dan menimbang beg.

Hari ketiga adalah hari untuk mengambil baju tempahan. Kalau Mai Saigon biasanya mereka hantar ke hotel. Tengahari adalah waktu untuk check out dan melangut sampai sangap kat lobi hotel. To kill the time, inilah masa untuk kehidupan sihat dengan membeli buah-buahan sebagai kudapan. Kemudian terkocoh-kocoh untuk check baju dah siap ke belum. Malam? Heh nak balik dah kan? Berdebar-debar pula untuk urusan imegresen dan boarding. Risau access baggage walaupun dah ambil maksimum 30kg! Hikhik

Alhamdulillah, selamat kembali ke tanahair tercinta. Tok aku kata, there is no place like HOME.

Percutian yang padat dan mampat. Keesokan hari adalah hari bekerja. Petanda meeting mode untuk aku sudah bermula.

Next trip?
Awana Genting untuk Family Day ;D

Mencari hidayah di bumi Barakah Part I

Mekah dan Madinah, bumi barakah yang digelar Haramain.  Bumi yang sentiasa dirindui oleh para pengunjungnya. Bumi yang tiada bandingan dek k...