Monday, August 16, 2010

US Trip - Bahagian Pertama

Aku memulakan perjalanan untuk kali pertama seorang diri pada hari ini. Seawal jam 12 tengahari aku dah melangkah keluar. Itupun sebab mahu membeli 2 peket Maggi untuk sahabat tersayang, dan mencari kuah kacang instant. Gagal. Sudah kehabisan stok.

Melangkah masuk ke KLIA, kali kedua untuk tahun 2010 ini. Tiada perubahan apa pun. Urusan check-in bagasi lancar. Beg seberat 22.8 kg! Heh, ini mesti disebabkan 4 peket maggi, 20 bungkus secara keseluruhannya!

Penerbangan aku KUL-LAX pada jam 15:15. Ada 2 jam lagi untuk aku membuang masa. Masuk kedai Coach, untuk belek-belek harga. Sungguh diskriminasi, tiada seorang pekerja pun yang datang bertanya. Fine, aku beli nanti kat US jek. *kekwat* Pun begitu, aku lemparkan senyuman kepada pekerja kedai. Nasib baik di balas dengan ikhlas.


Berjalan tanpa arah tuju, aku terpandang dua gadis remaja Muslim sedang menikmati minuman di sebuah cafe di KLIA ni. Gigih aku berpatah balik dan memberikan renungan tajam. Itu sajalah yang aku mampu selain mengeluh dan menggelengkan kepala. Masalahnya, seorang ini bertudung. Malu aku dibuatnya!

Bersangka baik, mungkin dua wanita itu dalam keuzuran syar'ie.
Bersangka baik juga, mungkin dia memegang konsep musafir. Diharuskan untuk tidak berpuasa.

Tapi, Islam dan budaya Melayu mengajar kita untuk menghormati orang lain. Menghormati bulan Ramadhan yang mulia ini.

Aku geleng kepala lagi.

Penyudahnya aku melangut di ruangan menunggu. Boarding time adalah 14:45.
Perjalanan selama 18:30. Kemudian bersambung pula menunggu bulan jatuh ke riba selama 5 jam sebelum pesawat berikutnya ke Chicago.

Bermusafir melihat dunia, aku harap akan menambahkan kecintaanku kepadaNya.

Wednesday, June 2, 2010

Life is but a dream?

Lagu ini berkumandang di dalam gegendang telinga, humming dalam hati, tertera lirik di hadapan mata sejak dua tiga menjak ini. Terasa lama tangan ini tidak menulis sesuatu. Yang pasti aku sangat kepenatan.

Aku tidak mahu bercerita perihal kerja. Tiada kesudahan.

"Kerja itu satu ibadah," kata seorang sahabat.

Seboleh mungkin aku cuba untuk tidak merungut. Seboleh mungkin aku tidak mahu mengeluh. Seboleh mungkin.

Stop.

Apa yang ada di minda ketika ini ialah RUMAH.

Walau sesibuk mana sekalipun, aku akan singgah di rumah yang masih dalam keadaan huru-hara itu. Muka aku pasti berseri-seri apabila bercerita perihal rumah.

Pegang dinding yang baru di cat, aku tersenyum.
Duduk di tangga perhatikan siling, senyum aku melebar.
Tekan-tekan lampu pun aku sengih sesorang.
Keluarkan handphone, ambil gambar dan hantar MMS.
BBM kepada mummy dear saban waktu. Hiks
Dial number, call kekawan rapat.

"Aku rasa rumah aku lawa."
"Lawanyaaaaaaa rumah I, kan?"
"Owh, shantekkk rumahku!"

Ya aku tau... aku tau..
Sewel.

Adakah orang lain pun berperasaan seperti aku bila mengubahsuai rumah ek?

Thursday, May 13, 2010

Love is in the air

Tajuk macam terlampau tetapi, memang benar, aku sudah jatuh cinta. Ada apa dengan cinta?

1. Sukan Badminton..ecehhh

2. Home sweet home..dup dap!

3. Cinta dalam hati. owhh

Saja nak bagi gimik.

Perlawanan semalam ketika pasukan Malaysia menentang Denmark, sangatlah memberi keterujaan kepadaku. Walaupun tidak menyaksikan dua perlawanan awal (beregu pertama pun sempat tengok masa perlawanan kedua sahaja), tetapi semangat kepahlawanan yang ditunjukkan oleh pasangan Hoon & Zakry menyemarakkan kembali rasa cintaku pada sukan badminton! Menang bergaya Hafiz Hashim tetapi kekalahan Hoon & Zakry bagiku sungguh bergaya! Semangat sepasukan, kesukanan terpancar ketika digandingkan untuk pertama kali di kejohanan ini. Ini barulah semangat yang kita mahu lihat di kalangan pemain-pemain Malaysia. Thumbs up kepada jurulatih, percaturan yang baik oleh Rexy Mainaky.

Tetapi, apa masalah dengan pengulas sukan kita?

On the other note, teratak kecilku ini sedang dalam pengubahsuaian. Bersyukur pada apa kurniaan Ilahi kerana kini dalam proses akhir untuk aku berhijrah. Aku harap dapat berpindah dengan kadar segera. Perancangan telah disusun dengan teliti walaupun terdapat krisis dalaman yang aku harap tidak menjejaskan proses keseluruhan penambahbaikan. Heh, love-hate relationship?



Cinta dalam hati?

Tanya pada pokok apa sebab goyang,
Nanti jawab pokok angin yang goncang,
Tanya sama langit apa sebab hujan,
Nanti jawab langit tanyalah awan.

Awan nanti kata aku kandung air,
Sampai tempat sejuk aku pun cair,
Tengok dalam air nampak bayang-bayang,
Campak satu batu bayang pun hilang.

Tanya sama hati apa rasa sayang,
Adakah tandanya nampak dipandang,
Kumbang rayu bunga bulan dan bintangnya,
Punya tanda-tanda hubungan mesra.

Tanya sama hati pernahkah merindu,
Tiba masa lena apa mimpimu,
Masa berjauhan apa nan dikenang,
Bila difahamkan itulah sayang.

Jikalau tidak kerana sayang,
Kuntuman kasih tak mungkin kembang,
Andainya jemu mengganti rindu,
Jambangan mesra tentulah layu.

Tanya sama hati pernahkah merindu,
Tiba masa lena apa mimpimu,
Masa berjauhan apa nan dikenang,
Bila difahamkan itulah sayang.

Wednesday, April 14, 2010

Pergi Yang Tidak Kembali

Pagi semalam kira-kira pukul 8:00 pagi, telefon bimbitku berdering. Sekilas kulihat nama yang terpapar.

Panggilan daripada Kak Ima.

"Ya, Kak Ima?" Aku terus bersuara.

Tiada hello.
Tiada salam.
Jauh sekali ucapan selamat pagi.

Bukan hello juga di hujung suara. Yang kudengar hanya tangisan anak saudaraku Latifi. Jantungku berdegup kencang.

Abang Long.

Hanya itu yang terlintas di otakku.

Tangisan itu terus berpanjangan. Dalam sedu sedan, anak saudaraku bersuara,

"Ucu, ayah dah tak bernafas Ucu...ayah dah tak bernafas."

Tangisan bersambung.
Luluh hati kecilku. Bukan pada pemergian yang telah lama kujangka dalam redhaku. Tapi pada tangisan anak remaja itu yang kini sah bergelar anak yatim.

"OK." Itu sahaja jawapan pendek yang aku beri.

Terus jemariku menelefon abangku seorang lagi. Dan seorang lagi.
Tidak berjawab. Aku menelefon ke kakak iparku pula. Juga tiada jawapan. Jariku pantas mendail nombor Ain, sepupuku. Juga tiada jawapan.

Ada gangguan talian kah semalam?

Tetapi kemudian kukhabarkan berita sedih itu kepada seluruh ahli keluarga dan mereka yang hampir denganku.

"Hello. Abang Long dah takde."
"Hello, along aku dah takde."
"Ain, Abang Long..." suara aku terhenti. Tidak mampu meneruskan kata-kata.

Sungguh, aku tidak mampu untuk melahirkan rasa kehilangan. Mungkin pada mereka yang bersama denganku ketika itu melihat aku kelihatan tenang, atau mungkin seolah tidak berperasaan. Tuhan telah anugerahkan diriku rasa redha yang sungguh luar biasa. Serta aturanNya seminggu dua ini yang membuat aku rasa kerdil atas kebesaran dan kekuasaanNya.

Pemergian abang sulungku itu adalah antara hakikat kehidupan di alam yang fana ini. Rasa kehilangan di hatiku seolah luntur sekelip mata apabila aku melihat isteri dan anak-anak kecil yang ditinggalkan. Anak kecil yang tidak mengerti hakikat kematian. Tentang erti kehilangan. Tidak mengerti akan ranjau yang ada di hadapan. Corak masa depan yang penuh warna warni ini dan penuh ketidaktentuan. Ah, apalah anak sekecil 6 tahun itu mengerti?

Aku pandu selaju mungkin untuk sampai ke rumah abangku ini. Aku tidak mahu ketinggalan menunaikan fardu kifayah untuknya. Mengajak anak-anak untuk solat jenazah bersama-sama.

Perlahan aku melangkah masuk dan disambut oleh ahli keluarga yang turut berduka. Kubuka kain batik yang menutupi sekujur tubuh yang terbaring kaku di ruang tamu. Lama kurenung wajah yang kelihatan damai, seolah pertarungan hampir setahun itu tidak terkesan langsung pada seraut wajah yang terpejam lena di perbaringan. Kukucup dahi itu, ku belai lembut tangannya yang kaku.

Perlahan kubisikkan kepadanya;

"Long, berehatlah. Jangan khuatir tentang anak-anak. Allah akan pelihara mereka. InsyaAllah, anne akan pelihara mereka. Tenanglah di alam sana."

Dan kucupan terakhir kali dariku.

Innalillahi wa'inna ilaihiraaji'un.
Alongku telah kembali kepada PenciptaNya.

Sunday, March 21, 2010

Heartbroken

Aku tahu hari yang ditunggu-tunggu itu akan datang jua.
Pada hari ini.
Detik ini.

Amanah itu telah kutunaikan.
Persetujuan akhirnya terpatri di antara kami berempat.
(I was not really agreed though...but...better now than never)

Berpisah sudah segalanya
Yang tinggal hanyalah kenangan
Diiring doa dan air mata
Yang pergi takkan kembali lagi


Yang tinggal hanyalah kenangan.
Segalanya akan ternokhtah.
Di sini.

p/s: aku pinjam copyright ko ye darlss!

Thursday, March 18, 2010

v.a.c.a.t.i.o.n

owh i really need one.
i really am.

but...will my leave going to be approved?
or... dah approved, tapi nanti kena cancel?
*heartbroken*

hikhik

Saturday, March 13, 2010

Ho Chi Minh Part II

Tepu otak aku memikir haruskah aku letak Day 1, Day 2 atau menggunakan lokasi sebagai jalan cerita. Aku rasa teknik penceritaan berdasarkan lokasi lebih sesuai dengan imej aku…hehe apakah perkaitan?

Hotel

Walau ke mana pun destinasi yang kita pergi, penginapan adalah perkara yang paling penting. Lokasinya, harganya, dan tahap kebersihannya. Ada juga di antara kita mementingkan keselesaan. Pada aku, selesa tu subjektif kerana selain lokasi dan harga, kebersihan sangat penting dalam definisi aku membuat pemilihan hotel. Bintang? Itu tidak penting. Agenda utama adalah shopping spree, penting ke nak hotel bertaraf 5 bintang yang hanya digunapakai untuk tidur dan mandi? Hehehe Ini bukan honeymoon trip, mind you :P

Di HCMC, tentulah banyak hotel berserakan. Boleh google dan surfing kalau mahu. Tapi aku memilih untuk menginap di Saigon Pink 2 Hotel, yang terletak tidak jauh dari Ben Thanh Market. Bintang? (kenapa lah korang suka tanya bintang?)…2 bintang sahaja. No breakfast provided. Kalau ada breakfast pun, berani ke nak makan? Huhu Hotel ni memang tersangatlah strategik. Walking distance to almost shopping’s attraction area di HCMC ni. Juga sangat berhampiran dengan Restoren Halal. Tak sampai 5 minit perjalanan dah boleh makan…tapi bergantung samada kau berjalan lenggang mak minah atau itik pulang petang lah Hihihihi Harga untuk 1 malam berbeza-beza. Aku memilih bilik berharga USD20. Bilik tanpa tingkap. Kalau nak ada tingkap, USD30. Kelemahan tiada tingkap ni satu jek lah, kot subuh tu kalau tak set alarm, memang lah tak tahu dah syuruk ke tidak. Jadi, pastikan rakan sebilik anda bukan yang jenis tidur mati. Yang jenis kalau buat latihan fire drill, memang selalu dikategorikan rentung. Tak gitu cik Mon? muahahaahahha Makanya, USD20 untuk 3 hari hanya USD60. Kalau berkongsi 2 orang, atau 3 orang, tidak kah harga itu sudah sangat murah?

Saigon Pink 2 ini juga berdekatan dengan Tailor kami. Sebelah hotel sahaja lah kiranya. Oh, aku ada bagitahu kan aku punya tailor ada di HCMC *kekwat kembali*. Dan percaya atau tidak, aku pernah menempah 9 helai blouse dan siap kesemuanya pada keesokan hari. Hebat kan? Dan tailor aku ini bukan sahaja menjahit baju aku, tapi 2-3 orang rakan kami. Bermakna, hampir 30 helai dalam masa 24 jam!!! Nanti aku akan elaborate more in detail tentang itu. Eceh!

Kalau anda jenis yang rugged (aku dan kawan aku telah dilabel sebagai tidak rugged), maka anda boleh pergi ke seluruh lokasi dengan hanya berjalan kaki. Sebagai rekod, mummy (mak Izzah) berusia 60 tahun, dan mampu berjalan ke butik Hong Anh, Mai Boutique dengan berjalan kaki dari hotel kami! Aku? Pernah jugak lah tahan teksi nak pergi ke Hong Anh, taxi driver pun tergelak.

“Yeah I know Hong Anh very near, but we don’t want to walk. Very hot.” Bersungguh Izzah memberikan penjelasan.

Bukan hot sebenarnya, tapi tak rugged! Hahaahahahaha Tapi, cuba anda buat kira-kira…anda hanya perlu membayar VD10,000 (bersamaan RM2) tanpa perlu mengeluarkan peluh. Kalau berjalan menghirup udara tercemar, lebih kurang 10 minit (sekali lagi ditegaskan, bergantung kepada teknik berjalan lah. Kalau lenggang mak minah mungkin 20minit, Kalau itik pulang petang? Heh, mungkin 30 minit). Itu tidak termasuk singgah kedai itu kedai ini sebab jenis rambang mata.

Kelebihan lain, hotel ini terletak betul-betul di hadapan pasar malam. Pasar malam pada tiap-tiap malam. Kiranya kalau anda beli baju, balik bilik test tak muat (read : sendat), anda boleh terus turun dan tukar tanpa perlu merungut. Tapi perlu juga diingat kebarangkalian Impulse Buying adalah sangat tinggi kerana pasar malam depan mata, tiap-tiap malam pula tu. Bagi yang gemar memberi buah tangan kepada seluruh clan, boleh beli di pasar malam ini. Harga memang murah. Jangan lupa gunakan bargaining skill anda. Dan jangan heartbroken kalau dah beli kat kedai A, jalan ke kedai B harga tersebut separuh dari harga yang anda beli. Itu biasa terjadi kan?

Owh, cerita pasal hotel je dah berjela-jela.

Tidak, aku tak dapat special price mempromosikan hotel ini.

Makanan Halal


Aku memang seorang yang sangat cerewet tentang bab makan. Selain kebersihan, sudah tentu tentang halal dan haramnya. Kalau anda jenis yang sempoi, tiada perbalahan di situ. Boleh mencuba ice cream or cereal perhaps? Ada kawan aku yang memakan fries di Mc Donald di China sebab bagi dia “it’s only Fries”. Up to you lah ya. Tapi seingat aku, tak kelihatan pun Mc Donald di HCMC ni. Tapi kelibat KFC memang ada a few di bandar ini. Untuk pengetahuan, populasi penduduk HCMC yang merupakan bandar terbesar di Vietnam adalah 7 juta penduduk dan hanya 2% sahaja warganya beragama Islam (sumber : Wikipedia). Dengan peratusan ini, sudah tentulah makanan halal sangat sukar kan? Tapi, tidak lah bermakna tiada langsung makanan halal.

“Mahal tak makanan halal?” tanya seorang rakan.

“Kalau kau mampu nak membeli baju atau apa sahaja pada harga ratus ringgit, takkan lah makanan berharga belas ringgit kau label sebagai mahal?” jawab seorang rakan yang lain.

Tapi, tidak lah semahal itu sebenarnya. Bergantung menu lah. Kalau di V.N Halal Restaurant, nasi goreng kampung berharga VD60,000 (RM12). Ya, memang lah mahal kalau dibandingkan harga kat kedai mamak di Malaysia, tapi kita bercerita tentang Vietnam kan? Hiks

Kalau anda rasa membazir, anda boleh bawa stok makanan sendiri. Mee segera, roti dan tuna atau kaya. 3 in 1 nestum, milo dan segala lah. Ada kawan kami bawa rendang segera, sambal ikan bilis sebagai bekalan. Terpulang. Tapi tolonglah jangan bawa rice cooker. Kalau rasa nak main masak-masak di negara orang, beli sahaja periuk nasi di sini. Huhuhu

Baiklah kembali kepada topik Restoren Halal. Tidak jauh dari hotel kami ada VN. Halal Restaurant. Anda tidak perlu risau jika anda adalah homesick, sebab rata-rata restoren halal di HCMC menyediakan Masakan Melayu/Malaysia. Ini sebagai isyarat bahawa ramai rakyat Malaysia berulang-alik ke HCMC. Ya, anda jangan terkejut jika bersapaan dengan orang Melayu kita di sini. Memang bersepah-sepah. Kekadang aku rasa macam aku berada di Jalan TAR di Kuala Lumpur. Malah kalau berjalan di Ben Thanh Market, ramai pekerja di sana berteriak:

“Mari-mari kakak. Murah-murah. Mari beli.”

Jangan sesekali kutuk mereka dalam Bahasa Melayu. Ada sesetengah mereka faham bahasa kita. Mungkin anda boleh guna dialek negeri masing-masing jika mahu berbincang.

Kalau anda rasa nak makan lebih sedap (but a bit pricey), jangan lupa pergi ke Restoren Halal @ Saigon. Restoran ini dimiliki oleh warga Malaysia. Boleh minta sambal belacan kalau mahu. Siakap 3 Rasa. Cendol pun boleh. Restoren ini terletak di hadapan Sheraton Hotel dan terdapat sebuah masjid bertentangan dengan restoren ini . Seingat aku, the only masjid yang ada di HCMC. Kalau nak senang, bagitahu sahaja kepada driver taxi mahu ke Sheraton Hotel. Mudah bukan?

Sekiranya anda menkategorikan diri sendiri shopaholic dan kaki makan, boleh meneruskan penjelajahan dengan pergi ke Kedai Shamsudin. Mereka boleh berbahasa Melayu, dipercayai mereka ini berasal dari Kemboja. Mungkin pemiliknya adalah Melayu Kemboja. Masakan Melayu, India, Cina, Barat dan Vietnamese food ada dalam menu mereka. Aku pernah makan Nasi Ayam di situ. Agak berbeza rasanya dengan nasi ayam yang biasa kita makan.


Ini info terbaru yang aku dengar. Restoren Four Season. Mungkin next trip aku akan cuba makan di sini.

Mencari hidayah di bumi Barakah Part I

Mekah dan Madinah, bumi barakah yang digelar Haramain.  Bumi yang sentiasa dirindui oleh para pengunjungnya. Bumi yang tiada bandingan dek k...