Tuesday, February 15, 2011

Mencari Erti Cinta

Ketika zaman kanak-kanak, apabila dikaitkan sahaja dengan sambutan maulidur rasul, nasyid tentang kelahiran nabi pasti ada dalam setiap sambutan.

Malam isnin subuh yang indah
12 rabiul awal yang cerah
20 April Tahun Gajah
Lahirlah zuriat dan shahadah


Mencari Cinta

Seingat aku,pengenalan sirah nabi bermula sekitar umur 9tahun (darjah 1 untuk pelajar berusia 9 tahun bermula untuk sek agama rakyat di johor). Subjek Tarawikh (sekarang dikenali sebagai Sirah) antara silibus awal aku belajar tentang kelahiran rasul,salasilah baginda (ibu dan ayah, datuk dan bapa saudara Nabi). Tentang sifat-sifat Nabi, sifat Al-Amin dan segala sejarah awal kerasulan nabi Muhammad s.a.w. Meningkat remaja, sirah itu dipertingkatkan dengan peristiwa isra' dan mi'raj, pembukaan kota Mekah sehinggalah kisah kewafatan Nabi.

Itu silibus sekolah. Kekal dalam ingatan tetapi tidak penah aku memahami maksud cinta. Acapkali ustaz/ustazah menanamkan dalam diri untuk cintakan Rasul. Bagaimana? Cinta aku kepada Rasul? Perasaan itu tetap ditakuk sama sehingga usia aku meningkat ke alam dewasa. Sambutan Maulidur Rasul disambut kerana ingin meraikan kemeriahannya bersama rakan-rakan sewaktu bergelar mahasiswa. Berpakaian warna Merah sebagai mewakili kolej. Walaupun berselawat mengelilingi seluruh kampus hampir setiap tahun, roh cinta itu tidak pernah terbit. Kemenangan pakaian/perarakan tercantik menjadi kenangan indah. Jahil? Tidak, kerana sirah nabi tetap tersemat di minda, tapi bukan di hati.

Ia kekal begitu bertahun-tahun lamanya.

Bagaimana mahu mencintai orang yang tidak pernah aku temui? Suatu ketika, perasaan ingin mencari cinta berputik lalu aku membeli buku setebal 3 inci untuk menyusuri kembali sirah kekasih Allah itu. Bukan satu, tetapi dua.


kredit foto : al-Fikrah.net

Buku itu kekal berhabuk di raknya. Sesekali aku bersihkan kerana aku alergik debu.

Tak Kenal Maka Tak Cinta?

Aku sudah kenal. Tetapi di mana cinta itu?

May 2009, Allah beri kesempatan untuk aku menjadi tetamuNya. Berpeluang untuk mengembara ke Tanah Haram Mekah dan Madinah. Aku ingin mencari keredhaan sebagai hambaNya. Di situ, aku temui CINTA yang tidak pernah aku rasakan sepanjang 30 tahun aku bergelar umatnya.

Berdiri di bumi yang beribu tahun yang lalu menyaksikan kelahiran, kerasulan, suka dan duka perjuangan nabi menyedarkan aku tentang cinta yang tidak pernah wujud itu. Sepanjang 10 hari di sana, aku mula merasakan kehadiran cinta itu. Kemuncaknya adalah ketika aku menaiki Jabal Nur. Melihat sayup-sayup dari jauh sinaran Masjidil Haram dari puncak bukit. Aku membayangkan nabi berjalan kaki sahaja. Ketika itu lebih kurang 12 tengah malam. Angin bertiup perlahan. Damai. Itu yang kurasakan. Aku sujud syukur di tempat nabi bersujud. Terasa seolah dahi kami bertemu pada batu bukit yang gelap tapi disinari cahaya malam. Kepayahan aku mendaki, merasai sendiri kepenatan perjalanan dari mekah-madinah-mekah (walaupun menaiki bas), menerbitkan rasa yang entah di mana sebelum ini berada.

Perasaan itu sukar digambarkan. Kutitip kalimah:

"Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu Pesuruh Allah"

Dia Muhammad.
Dia Kekasih Allah.
Dia Pemberi syafaat.

Berkata Malaikat Israfil a.s :
“Mereka yang berselawat kepadamu akan aku sujud kepada Allah dan aku tidak akan mengangkat kepalaku sehingga Allah mengampuni orang itu.”


Hari ini adalah Sambutan Maulidur Rasul untuk tahun 1432H.

Monday, February 14, 2011

Universal Studio Singapore (USS)

Aku memang sengaja untuk menulis secara backdated. Sekadar berkongsi pengalaman aku mengembara di bumi Tuhan, sebagai catitan peribadi. Melihat dunia dari kacamata aku, dan dari perspektif aku. Mungkin ada yang sama dengan orang lain. Mungkin, penilaian yang berbeza. Segalanya mungkin.

Dah lama aku tidak bercuti menaiki bas beramai-ramai. Maksudnya, macam rombongan bas sekolah. Bukan. Bukan Geng Sekolah. Tapi geng Ofis. Macam tak percaya aku kembali lagi ke Singapura, walau kengkononnya nak datang lagi 10 tahun kemudian. Kali terakhir aku pergi ke sini ialah December 2009, ketika itu Universal Studio masih lagi dalam pembinaan. Cepat betul masa berlalu kan?

Perjalanan kami bermula dari Office HQ kami di Taman Melawati (kan aku dah kata ini Geng ofis, tentulah berkumpul di ofis). Entah di mana silapnya, perjalanan kami lewat dari waktu yang dijanjikan. Ada beberapa persinggahan awal sebelum destinasi pertama kami di Johor Bahru. Bas menyusur laju ke arah Selatan, berhenti seketika di Sungai Besi, di Seremban dan di Ayer Keroh (untuk amik penumpang dan solat). Kemudian tak berhenti-henti hingga ke JB. Kami makan malam di Danga Bay.

Keesokan harinya, seawal pagi kami telah bergerak menuju ke Second Link (Tuas) untuk ke Singapura. Hujan mengiringi perjalanan kami pagi itu. Kalau hujan berpanjangan, alamatnya memang lah mematikan segala mood yang ada. Hotel 88. Di situlah kami menginap. Drama? Heh, kalau tiada drama tentulah tidak seronok. Lagilah aku ni Drama Diva? Hahaahahahahhaa tapi aku malas nak cerita di sini. Cuma pada pendapat aku, setiap orang harus bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan. Ketidakpekaan pihak agensi menguruskan kami, bagi aku adalah sesuatu yang mengecewakan. Eh, tak nak cerita pasal itu. Nanti mood menulis juga menyongsang dari tujuan asal.

Menurut cerita, bas dari Malaysia tidak boleh sewenang-wenangnya berjalan ke sana-sini di Singapura. Disebabkan itulah kami terpaksa bertukar bas. Tourist guide kami pula tidak banyak membantu dalam menguruskan kami. In fact, ini kali pertama juga dia pergi ke Universal Studio! Kami dikehendaki menaiki LRT untuk ke Universal Studio. Dah sama lah kaedahnya dengan try & error masa aku pergi ke Sentosa Island setahun yang lalu. Kebanyakan dari kami merungut-rungut tidak puas hati. Dah sampai di Universal Studio, tiket masuk juga belum di beli. Mengeluh. Dan membebel tidak puas hati. Alamak, aku sepatutnya tidak membebel mengenai ketidakpuasan ini kan? *sigh*

Ok, kita cerita sahaja kenangan di Universal Studio. Hujan terus sahaja membasahi bumi. Tanpa henti. Perkara pertama yang kami buat apabila dah 'check-in' Universal Studio ialah mencari kedai untuk makan. Alhamdulillah, kepekaan kerajaan Singapura tentang sensitiviti halal-haram makanan bagi orang Muslim harus di puji. Dalam Map yang diberikan, ada beberapa kedai yang telah diiktiraf halal oleh MUIS (Majlis Ugama Islam Singapura). Di pintu kedai pun ada juga diletakkan logo halal. Ada sorang minah Arab ni bertanya kat aku adakah kedai yang kami masuk itu halal, kerana dia tengok kami mengorder makanan. Keyakinannya hanya kerana kami memakai tudung. Hmm, aku rasa aku sempat memberitahu dia untuk merujuk kepada USS map. Sempat juga aku bertanya kalau-kalau ada surau di USS ni, menurut salah seorang pekerja, surau masih lagi di dalam pembinaan. Aku harap, ia benar-benar ada untuk memudahkan Muslims menunaikan tanggungjawab.

Secara jujurnya, USS bukan jiwa aku. Atau sebenarnya, hujan telah mematikan perasaan aku? Entahlah. Aku tak berapa teruja untuk bermain itu ini. Family yang ada kids memang really enjoyed. Or perhaps USS is the best place to bring your kids. To have fun. Pun begitu, sempatlah juga aku menaiki Mary Go Round, dan roller coaster. Selebihnya, kami melihat 3D movie, pembikinan filem ala Hollywood, dan melihat-lihat kawasan sekitar dan berjalan tanpa hala tuju. Apabila pergi mengikut pakej rombongan, perkara paling tidak dapat dielakkan ialah MENUNGGU. Kami diberi masa selama lebih kurang 4 jam untuk menikmati (read : merayau) di dalam USS ini. Suka atau tidak, kenalah juga habiskan masa di situ. Aku tidak kisah menunggu kerana ini adalah masa terbaik untuk aku membaca buku. Berjaya juga aku habiskan novel Remember Me :)

Malam itu, kami pergi ke Mustapha Centre. Kedai ala Mydin di Singapura. Di buka 24 jam. Tiada apa yang aku beli, cuma tali pinggang dan penunjuk kiblat. Dan kemudian MENUNGGU.

Keesokan harinya (Hari Ketiga), kami ke Orchard Road. Sekali lagi, proses berjalan tanpa hala tuju. Orchard Road bukan 'dunia' aku. Kami menghabiskan hampir separuh hari di sini. Tiada apa-apa yang dilakukan selain meninjau, berjalan ke HRC dan melepak. Dan MENUNGGU.

Tengahari, kami bergerak pulang ke Johor Bahru sebelum meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur.

Home is where the HEART is.

Next Trip,
Ho Chi Minh City ;D

Sunday, February 13, 2011

Pengalaman Pertama Untuk Trip Keempat di HCMC

Ini merupakan kali keempat aku ke HCMC. Jangan kau tanya kenapa, tapi ini adalah salah satu syurga shopping untukku :)

Kali ini aku pergi berempat. Percutian 3H2M kami seperti biasa ditemani oleh Pak Yahya. Mungkin kehadiran incik Hafiz, perjalanan kami di kota ini agak berlainan dari kebiasaan. Banyak kali pertama untuk kesekian kalinya.

Kali pertama kami berpeluang (read : terpaksa) menaiki bas awam di sini. Walaupun sebenarnya jarak dari China Town ke Bin Tay Market sekadar 5 minit (itu kata pak yaya...dia speed gaya Carl Lewis agaknya)...aku rasa lebih kurang 15 minit jika berjalan kaki gaya kak limah balik ke rumah hihi (tapi sudah tentu tidak sama sekali dalam kamus hidup aku. Better than cik ijimon lah for sure) Hiks. Di celah kesibukan warga HCMC mencari rezeki dan kesukaran mendapatkan teksi, Pak Yahya menahan bas. Itu sebenarnya punca utama. Murah! Tiket untuk 5 orang hanya VD20,000.

Kali pertama juga kami ke HRC Saigon, dan mengambil peluang ke Pejabat Pos Besar HCMC. Oowh, sebenarnya kami ditipu Pak Yahya yang berulang kali memberitahu jarak antara HRC dengan hotel kami tidak jauh. 5 minit sahaja (katanya). Agaknya, semua tempat pun memang 5 minit sahaja kaedahnya. Menurut Pak Yahya, Pejabat Pos ini ketika zaman perang merupakan sebuah gereja. Aku masuk untuk meninjau-ninjau apa yang ada di dalam. Orang lah kan yang ramai nak berurusan. Pelancong-pelancong juga agak ramai. Tourist Attraction barangkali.

Kata pak yaya, disebabkan orang Malaysia tak suka berjalan, kebanyakan teksi tidak mahu mengambil penumpang jika jarak perjalanan tak lebih radius 5km. Hiks, sebenarnya lokasi hotel kami tersangat strategik, boleh berjalan kaki sahaja hampir ke semua 'shopping spot' utama. Tetapi? *geleng TIDAK bekali-kali'.

Kali pertama juga pak yaya membawa kami ke kampungnya (dia nak tunjuk rumah dia benornye) in which aku agak surprise lah kerana selama ini aku membayangkan rumah pak yaya di kawasan setinggan yang comot dan kotor. Kiranya pak yaya ni orang 'ada-ada' lah kalau tengok keadaan rumah. Hello, dia baru sahaja beli Van Mercedes berharga RM150K yang dibayar Cash. Ko ada? Nan ado kan?

Kami bersarapan mee sup di gerai berhampiran. Dan roti cicah sup. Dan air kopi...*drooling* Hampir kesemua penduduk di situ adalah Muslim Vietnam. Ada sebuah masjid tidak jauh dari rumah pak yaya.

Rutin sama

Rutin kami ke HCMC tetap sama setiap kali. Dari hari menjejakkan kaki hingga ke hari pulang, tiada lain aktiviti kami selain shopping! ;D

Hari pertama selepas check in kami terus bergegas ke MySang amik ukuran badan kemudian dengan segera ke Ben Tanh market untuk membeli kain utk buat baju/blouse/seluar/skirt. Kemudian bergerak ke Hong Anh.

Hari kedua selepas sarapan pergi ke China Town dan Bin Tay market untuk beli kain pada harga yang lebih murah, letak beg d hotel dan terus memecut ke Halal Saigon untuk makan tengahari. Petang adalah waktu untuk ke butik (Hong Anh, Mai Saigon) atau berjalan-jalan tanpa hala tuju. Malam adalah waktu untuk cuci rambut dan facial (hanya USD4). Balik ke bilik untuk menyusun barang dan menimbang beg.

Hari ketiga adalah hari untuk mengambil baju tempahan. Kalau Mai Saigon biasanya mereka hantar ke hotel. Tengahari adalah waktu untuk check out dan melangut sampai sangap kat lobi hotel. To kill the time, inilah masa untuk kehidupan sihat dengan membeli buah-buahan sebagai kudapan. Kemudian terkocoh-kocoh untuk check baju dah siap ke belum. Malam? Heh nak balik dah kan? Berdebar-debar pula untuk urusan imegresen dan boarding. Risau access baggage walaupun dah ambil maksimum 30kg! Hikhik

Alhamdulillah, selamat kembali ke tanahair tercinta. Tok aku kata, there is no place like HOME.

Percutian yang padat dan mampat. Keesokan hari adalah hari bekerja. Petanda meeting mode untuk aku sudah bermula.

Next trip?
Awana Genting untuk Family Day ;D

Monday, August 16, 2010

US Trip - Bahagian Pertama

Aku memulakan perjalanan untuk kali pertama seorang diri pada hari ini. Seawal jam 12 tengahari aku dah melangkah keluar. Itupun sebab mahu membeli 2 peket Maggi untuk sahabat tersayang, dan mencari kuah kacang instant. Gagal. Sudah kehabisan stok.

Melangkah masuk ke KLIA, kali kedua untuk tahun 2010 ini. Tiada perubahan apa pun. Urusan check-in bagasi lancar. Beg seberat 22.8 kg! Heh, ini mesti disebabkan 4 peket maggi, 20 bungkus secara keseluruhannya!

Penerbangan aku KUL-LAX pada jam 15:15. Ada 2 jam lagi untuk aku membuang masa. Masuk kedai Coach, untuk belek-belek harga. Sungguh diskriminasi, tiada seorang pekerja pun yang datang bertanya. Fine, aku beli nanti kat US jek. *kekwat* Pun begitu, aku lemparkan senyuman kepada pekerja kedai. Nasib baik di balas dengan ikhlas.


Berjalan tanpa arah tuju, aku terpandang dua gadis remaja Muslim sedang menikmati minuman di sebuah cafe di KLIA ni. Gigih aku berpatah balik dan memberikan renungan tajam. Itu sajalah yang aku mampu selain mengeluh dan menggelengkan kepala. Masalahnya, seorang ini bertudung. Malu aku dibuatnya!

Bersangka baik, mungkin dua wanita itu dalam keuzuran syar'ie.
Bersangka baik juga, mungkin dia memegang konsep musafir. Diharuskan untuk tidak berpuasa.

Tapi, Islam dan budaya Melayu mengajar kita untuk menghormati orang lain. Menghormati bulan Ramadhan yang mulia ini.

Aku geleng kepala lagi.

Penyudahnya aku melangut di ruangan menunggu. Boarding time adalah 14:45.
Perjalanan selama 18:30. Kemudian bersambung pula menunggu bulan jatuh ke riba selama 5 jam sebelum pesawat berikutnya ke Chicago.

Bermusafir melihat dunia, aku harap akan menambahkan kecintaanku kepadaNya.

Wednesday, June 2, 2010

Life is but a dream?

Lagu ini berkumandang di dalam gegendang telinga, humming dalam hati, tertera lirik di hadapan mata sejak dua tiga menjak ini. Terasa lama tangan ini tidak menulis sesuatu. Yang pasti aku sangat kepenatan.

Aku tidak mahu bercerita perihal kerja. Tiada kesudahan.

"Kerja itu satu ibadah," kata seorang sahabat.

Seboleh mungkin aku cuba untuk tidak merungut. Seboleh mungkin aku tidak mahu mengeluh. Seboleh mungkin.

Stop.

Apa yang ada di minda ketika ini ialah RUMAH.

Walau sesibuk mana sekalipun, aku akan singgah di rumah yang masih dalam keadaan huru-hara itu. Muka aku pasti berseri-seri apabila bercerita perihal rumah.

Pegang dinding yang baru di cat, aku tersenyum.
Duduk di tangga perhatikan siling, senyum aku melebar.
Tekan-tekan lampu pun aku sengih sesorang.
Keluarkan handphone, ambil gambar dan hantar MMS.
BBM kepada mummy dear saban waktu. Hiks
Dial number, call kekawan rapat.

"Aku rasa rumah aku lawa."
"Lawanyaaaaaaa rumah I, kan?"
"Owh, shantekkk rumahku!"

Ya aku tau... aku tau..
Sewel.

Adakah orang lain pun berperasaan seperti aku bila mengubahsuai rumah ek?

Thursday, May 13, 2010

Love is in the air

Tajuk macam terlampau tetapi, memang benar, aku sudah jatuh cinta. Ada apa dengan cinta?

1. Sukan Badminton..ecehhh

2. Home sweet home..dup dap!

3. Cinta dalam hati. owhh

Saja nak bagi gimik.

Perlawanan semalam ketika pasukan Malaysia menentang Denmark, sangatlah memberi keterujaan kepadaku. Walaupun tidak menyaksikan dua perlawanan awal (beregu pertama pun sempat tengok masa perlawanan kedua sahaja), tetapi semangat kepahlawanan yang ditunjukkan oleh pasangan Hoon & Zakry menyemarakkan kembali rasa cintaku pada sukan badminton! Menang bergaya Hafiz Hashim tetapi kekalahan Hoon & Zakry bagiku sungguh bergaya! Semangat sepasukan, kesukanan terpancar ketika digandingkan untuk pertama kali di kejohanan ini. Ini barulah semangat yang kita mahu lihat di kalangan pemain-pemain Malaysia. Thumbs up kepada jurulatih, percaturan yang baik oleh Rexy Mainaky.

Tetapi, apa masalah dengan pengulas sukan kita?

On the other note, teratak kecilku ini sedang dalam pengubahsuaian. Bersyukur pada apa kurniaan Ilahi kerana kini dalam proses akhir untuk aku berhijrah. Aku harap dapat berpindah dengan kadar segera. Perancangan telah disusun dengan teliti walaupun terdapat krisis dalaman yang aku harap tidak menjejaskan proses keseluruhan penambahbaikan. Heh, love-hate relationship?



Cinta dalam hati?

Tanya pada pokok apa sebab goyang,
Nanti jawab pokok angin yang goncang,
Tanya sama langit apa sebab hujan,
Nanti jawab langit tanyalah awan.

Awan nanti kata aku kandung air,
Sampai tempat sejuk aku pun cair,
Tengok dalam air nampak bayang-bayang,
Campak satu batu bayang pun hilang.

Tanya sama hati apa rasa sayang,
Adakah tandanya nampak dipandang,
Kumbang rayu bunga bulan dan bintangnya,
Punya tanda-tanda hubungan mesra.

Tanya sama hati pernahkah merindu,
Tiba masa lena apa mimpimu,
Masa berjauhan apa nan dikenang,
Bila difahamkan itulah sayang.

Jikalau tidak kerana sayang,
Kuntuman kasih tak mungkin kembang,
Andainya jemu mengganti rindu,
Jambangan mesra tentulah layu.

Tanya sama hati pernahkah merindu,
Tiba masa lena apa mimpimu,
Masa berjauhan apa nan dikenang,
Bila difahamkan itulah sayang.

Wednesday, April 14, 2010

Pergi Yang Tidak Kembali

Pagi semalam kira-kira pukul 8:00 pagi, telefon bimbitku berdering. Sekilas kulihat nama yang terpapar.

Panggilan daripada Kak Ima.

"Ya, Kak Ima?" Aku terus bersuara.

Tiada hello.
Tiada salam.
Jauh sekali ucapan selamat pagi.

Bukan hello juga di hujung suara. Yang kudengar hanya tangisan anak saudaraku Latifi. Jantungku berdegup kencang.

Abang Long.

Hanya itu yang terlintas di otakku.

Tangisan itu terus berpanjangan. Dalam sedu sedan, anak saudaraku bersuara,

"Ucu, ayah dah tak bernafas Ucu...ayah dah tak bernafas."

Tangisan bersambung.
Luluh hati kecilku. Bukan pada pemergian yang telah lama kujangka dalam redhaku. Tapi pada tangisan anak remaja itu yang kini sah bergelar anak yatim.

"OK." Itu sahaja jawapan pendek yang aku beri.

Terus jemariku menelefon abangku seorang lagi. Dan seorang lagi.
Tidak berjawab. Aku menelefon ke kakak iparku pula. Juga tiada jawapan. Jariku pantas mendail nombor Ain, sepupuku. Juga tiada jawapan.

Ada gangguan talian kah semalam?

Tetapi kemudian kukhabarkan berita sedih itu kepada seluruh ahli keluarga dan mereka yang hampir denganku.

"Hello. Abang Long dah takde."
"Hello, along aku dah takde."
"Ain, Abang Long..." suara aku terhenti. Tidak mampu meneruskan kata-kata.

Sungguh, aku tidak mampu untuk melahirkan rasa kehilangan. Mungkin pada mereka yang bersama denganku ketika itu melihat aku kelihatan tenang, atau mungkin seolah tidak berperasaan. Tuhan telah anugerahkan diriku rasa redha yang sungguh luar biasa. Serta aturanNya seminggu dua ini yang membuat aku rasa kerdil atas kebesaran dan kekuasaanNya.

Pemergian abang sulungku itu adalah antara hakikat kehidupan di alam yang fana ini. Rasa kehilangan di hatiku seolah luntur sekelip mata apabila aku melihat isteri dan anak-anak kecil yang ditinggalkan. Anak kecil yang tidak mengerti hakikat kematian. Tentang erti kehilangan. Tidak mengerti akan ranjau yang ada di hadapan. Corak masa depan yang penuh warna warni ini dan penuh ketidaktentuan. Ah, apalah anak sekecil 6 tahun itu mengerti?

Aku pandu selaju mungkin untuk sampai ke rumah abangku ini. Aku tidak mahu ketinggalan menunaikan fardu kifayah untuknya. Mengajak anak-anak untuk solat jenazah bersama-sama.

Perlahan aku melangkah masuk dan disambut oleh ahli keluarga yang turut berduka. Kubuka kain batik yang menutupi sekujur tubuh yang terbaring kaku di ruang tamu. Lama kurenung wajah yang kelihatan damai, seolah pertarungan hampir setahun itu tidak terkesan langsung pada seraut wajah yang terpejam lena di perbaringan. Kukucup dahi itu, ku belai lembut tangannya yang kaku.

Perlahan kubisikkan kepadanya;

"Long, berehatlah. Jangan khuatir tentang anak-anak. Allah akan pelihara mereka. InsyaAllah, anne akan pelihara mereka. Tenanglah di alam sana."

Dan kucupan terakhir kali dariku.

Innalillahi wa'inna ilaihiraaji'un.
Alongku telah kembali kepada PenciptaNya.

Mencari hidayah di bumi Barakah Part I

Mekah dan Madinah, bumi barakah yang digelar Haramain.  Bumi yang sentiasa dirindui oleh para pengunjungnya. Bumi yang tiada bandingan dek k...