Friday, September 13, 2013

Dia, Murabbi

Ia perbualan santai di cafe Kolej. Kata seorang kawan, bagaimanalah agaknya Murabbi baru kami nanti? Entah-entah orang Arab. Dan berjambang.

Heh, be careful with what you said, or wish for.

Masuk sahaja krlas, kami saling memandang dan tergelak. Ya, berdiri di hadapan kami seorang Murabbi, guru kami. Dan dia lelaki Arab. Dan berjambang!

Selepas sesi kami memperkenalkan diri masing-masing, Murabbi membiarkan kami pula bertanya kepadanya. Sudah pasti dalam bahasa Arab.

S : Min aina anta ya Ustaz? (Dari manakah anda, ya Ustaz?)
A : Ana min Afghanistan. (Saya dari Afghanistan)
S : Hal anta Taliban? ( Adakah  anda Taliban?)
A : La. antum Taliban. (Tidak. Anda semua lah Taliban) 

Riuh rendah seketika kelas kami. Masakan tidak, tiba-tiba kami pula digelar Taliban.

Murabbi kami, Syeikh Sharib Ahmad namanya. Dia tersenyum melihat gelagat kami. Perlahan dia bersuara, kali ini dalam bahasa Inggeris pula.

S : What is the meaning of Talib?
A : A student.
S : Good. If many students? Say more than three?
A : Err...Talibats? Taliban?
S : Na'am, Taliban. Antum Taliban, sohih?

Berderai gelak tawa kami. Masing-masing menuding diri Taliban. Sebegitu mudah kami memahami maksud pejuang Taliban dan mengapa kumpulan itu menggelarkan diri mereka begitu. Tidak perlu google.

Jujurnya, ada rasa kecewa di hati kami apabila guru yang diharapkan mengajar kami, tidak berdiri di hadapan kami.
Jujurnya juga, kami masih berharap guru berbangsa Melayu untuk mengajar kami.
Bukan racist, tetapi lebih selesa barangkali.

Tapi perancangan Tuhan itu maha bijaksana. Menjangkau apa yang kami rasakan adalah yang terbaik untuk kami.
Kun fayakun.

Tiga bahasa digunapakai di sepanjang pembelajaran kami.
Bagi yang lemah bahasa Arab seperti aku, banyak perbendaharaan kata difahami.
Bagi yang mungkin lemah bahasa Inggerisnya, ia seperti serampang dua mata. Berpeluang pelajari dua bahasa serentak.
Bagi Murabbi kami yang sangat sedikit pengetahuan bahasa Melayunya, ia juga peluang untuk menambah kosa kata.

Murabbi tertawa, mendengar sebutan Arab sebahagian besar kami.
Kami juga tertawa, mendengar sebutan pelat Melayunya.
Tertawa juga apabila pelbagai slang bahasa Inggeris dilantunkan sesama kami.

“Wahai manusia, sesungguhnya kami telah ciptakan kalian dari lelaki dan perempuan dan kami telah jadikan kalian berbangsa-bangsa dan bersuku-puak agar kalian saling berkenalan. Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Mendalam PengetahuanNya”  (Hujurat :13)

Harmoni.
Ia bukan satu kebetulan. Ia adalah asbab untuk kami saling mengenali bahasa dan bangsa. Juga untuk saling menghormati. Semuanya atas tujuan yang sama - menambah ILMU. Moga-moga ia menjadi ilmu yang bermanfaat bukan sahaja untuk diri sendir tetapi untuk orang-orang di sekeliling.


Friday, September 6, 2013

Jemputan Eksklusif Sebagai VVIP

Seringkali, kita melihat para kehormat diberi layanan istimewa sebagai seorang VIP atau barangkali juga VVIP. Kita pula? IP (Important Person) pun kadangkala belum tentu.

Ini bukan pokok persoalan yang ingin aku perkatakan. Tetapi ia tentang bagaimana menjadi hamba berstatus VIP di sisi Tuhan yang Esa. Ia boleh dicapai oleh aku, kamu, jiran sebelah rumah, rakan sepejabat malah sesiapa juga selagi dia bergelar manusia yang beriman. Yang bertaqwa. Bukankah itu impian kita semua?

Ia tidak susah. Malah tidak juga mudah. Siapa VIP yang aku maksudkan?

Dari kacamata aku dan ilmu yang tidak sempurna ini, para VIP ini ialah orang-orang yang bangun di sepertiga malam. Di kala orang lain lena diulit damai malam. Bermunajat, semata-mata mencari redha Allah Ar-Rahman Ar-Rahim. Ia satu-satunya waktu eksklusif antara kita dan Dia. Dan ia anugerah untuk hambaNya yang terpilih. Bukankah itu juga rezeki yang tidak diberikan kepada setiap kita ini? Hanya mereka berstatus VIP sahaja kan?


Dan bukankah Allah itu sangat dekat dengan kita? Bicaralah apa sahaja di sepertiga malam. Di waktu susah dan senang.

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka katakanlah sesungguhnya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan doa orang yang memohon apabila ia memohon kepadaKu. Maka hendaklah mereka memenuhi perintahKu, dan beriman kepadaKu agar mereka mendapat petunjuk" (Al-Baqarah : 186)

"...Dan kami lebih dekat kepadanya dari urat lehernya" (Qaf : 16)

Subhanallah.
Alhamdulillah.
Allahu Akhbar.

Aku ingin menjadi VIP itu. Sudah pasti, ia satu mujahadah yang hebat untuk memulakannya. Berjuang melawan nafsu dan bisikan syaitan yang durjana. Kemudian nanti, bersungguh pula untuk istiqamah, menjadikannya ibadah berterusan selagi hayat dikandung badan.

Untuk apakah semua ini? 
Cinta. Itu barangkali ungkapan yang paling tepat.

Kamu pula, bagaimana?

Tanyalah iman dalam diri. Semoga iman dan cinta itu bersatu, menjadikan kita VVIP untuk bertemu dengan kekasih hati, di syurga firdausi.

Sungguh, Allah Maha Mengetahui.


Vietnam Trip : Mui Ne, Dalat dan HCMC

"Kau pernah dengar Mui Ne dan Da Lat?" "Kat mana tu? Tak pernah dengar pun." "Vietnam. Ada tiket murah RM277. Kau...