Friday, September 6, 2013

Jemputan Eksklusif Sebagai VVIP

Seringkali, kita melihat para kehormat diberi layanan istimewa sebagai seorang VIP atau barangkali juga VVIP. Kita pula? IP (Important Person) pun kadangkala belum tentu.

Ini bukan pokok persoalan yang ingin aku perkatakan. Tetapi ia tentang bagaimana menjadi hamba berstatus VIP di sisi Tuhan yang Esa. Ia boleh dicapai oleh aku, kamu, jiran sebelah rumah, rakan sepejabat malah sesiapa juga selagi dia bergelar manusia yang beriman. Yang bertaqwa. Bukankah itu impian kita semua?

Ia tidak susah. Malah tidak juga mudah. Siapa VIP yang aku maksudkan?

Dari kacamata aku dan ilmu yang tidak sempurna ini, para VIP ini ialah orang-orang yang bangun di sepertiga malam. Di kala orang lain lena diulit damai malam. Bermunajat, semata-mata mencari redha Allah Ar-Rahman Ar-Rahim. Ia satu-satunya waktu eksklusif antara kita dan Dia. Dan ia anugerah untuk hambaNya yang terpilih. Bukankah itu juga rezeki yang tidak diberikan kepada setiap kita ini? Hanya mereka berstatus VIP sahaja kan?


Dan bukankah Allah itu sangat dekat dengan kita? Bicaralah apa sahaja di sepertiga malam. Di waktu susah dan senang.

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka katakanlah sesungguhnya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan doa orang yang memohon apabila ia memohon kepadaKu. Maka hendaklah mereka memenuhi perintahKu, dan beriman kepadaKu agar mereka mendapat petunjuk" (Al-Baqarah : 186)

"...Dan kami lebih dekat kepadanya dari urat lehernya" (Qaf : 16)

Subhanallah.
Alhamdulillah.
Allahu Akhbar.

Aku ingin menjadi VIP itu. Sudah pasti, ia satu mujahadah yang hebat untuk memulakannya. Berjuang melawan nafsu dan bisikan syaitan yang durjana. Kemudian nanti, bersungguh pula untuk istiqamah, menjadikannya ibadah berterusan selagi hayat dikandung badan.

Untuk apakah semua ini? 
Cinta. Itu barangkali ungkapan yang paling tepat.

Kamu pula, bagaimana?

Tanyalah iman dalam diri. Semoga iman dan cinta itu bersatu, menjadikan kita VVIP untuk bertemu dengan kekasih hati, di syurga firdausi.

Sungguh, Allah Maha Mengetahui.


No comments:

Mencari hidayah di bumi Barakah Part I

Mekah dan Madinah, bumi barakah yang digelar Haramain.  Bumi yang sentiasa dirindui oleh para pengunjungnya. Bumi yang tiada bandingan dek k...