Thursday, October 17, 2013

Cinta Dalam Hati

Allahu Akhbar
Allahu Akhbar
Allahu Akhbar
Laa Ila ha illallahu wallahu Akhbar
Allahu Akhbar walillahilhamd...

Esok hari terakhir Hari Tasyrik. Luput sudah waktu untuk ibadah Qurban bagi tahun ini. Namun, lafaz takbir ini, tidaklah patut terhenti serta merta. Jiwa akan menjadi tenang dengan kalimah cinta dari Yang Maha Esa. Malah lafaz talbiah yang pelbagai seperti versi Irfan Marki, Opick atau Raihan juga bisa meruntun jiwa. Itu aku. Adakah kalian begitu?

Saban tahun juga, kisah pengorbanan Nabi Ibrahim Alaihi Salam, Nabi Ismail Alaihi Salam dan Siti Hajar Radiallahu Anha diulang-ulang oleh Khatib dalam khutbah Aidil Adha. Benarlah sepertimana kata seorang guruku, kadangkala kisah sama yang diulangcerita memberi impak dan penerimaan yang pasti berbeza. Mungkin kerana faktor kematangan, mungkin kerana penghayatan dan mungkin juga kerana cinta dalam hati.

Hebat sungguh bukan penangan segumpal darah bernama hati? Di tambah pula dengan iman dalam diri. Dan cinta. Masya Allah. Subhanallah.

Apa agaknya usaha kita dalam mencari cinta itu? 

"Ya Allah, aku memohon kepadaMu cintaMu dan cinta orang-orang yang mencintaiMu dan aku memohon kepadaMu amalan yang mendekatkan aku kepada cintaMu. Ya Allah, jadikanlah cintaMu lebih kucintai daripada diriku dan keluargaku serta air dingin.” 

Aku rasa kerdil dan hina. Ada cinta dunia yang masih mendiam di dalam hatiku, bukan di tanganku. Masih menebal perasaan takutkan mati yang sangat tinggi. Petanda cinta belum sempurna, amalan hanya secebis yang ada. Sedang perjalanan akhirat itu terlalu panjang. Jauh yang tak mampu dijangkau mata yang memandang. Walaupun di sudut hati tersangat yakin bahawa janji Allah itu benar, mati itu benar, syurga dan neraka itu benar. 

Allahu Akhbar. Allahu Akhbar. Allahu Akhbar. ولله الحمد

Friday, September 13, 2013

Dia, Murabbi

Ia perbualan santai di cafe Kolej. Kata seorang kawan, bagaimanalah agaknya Murabbi baru kami nanti? Entah-entah orang Arab. Dan berjambang.

Heh, be careful with what you said, or wish for.

Masuk sahaja krlas, kami saling memandang dan tergelak. Ya, berdiri di hadapan kami seorang Murabbi, guru kami. Dan dia lelaki Arab. Dan berjambang!

Selepas sesi kami memperkenalkan diri masing-masing, Murabbi membiarkan kami pula bertanya kepadanya. Sudah pasti dalam bahasa Arab.

S : Min aina anta ya Ustaz? (Dari manakah anda, ya Ustaz?)
A : Ana min Afghanistan. (Saya dari Afghanistan)
S : Hal anta Taliban? ( Adakah  anda Taliban?)
A : La. antum Taliban. (Tidak. Anda semua lah Taliban) 

Riuh rendah seketika kelas kami. Masakan tidak, tiba-tiba kami pula digelar Taliban.

Murabbi kami, Syeikh Sharib Ahmad namanya. Dia tersenyum melihat gelagat kami. Perlahan dia bersuara, kali ini dalam bahasa Inggeris pula.

S : What is the meaning of Talib?
A : A student.
S : Good. If many students? Say more than three?
A : Err...Talibats? Taliban?
S : Na'am, Taliban. Antum Taliban, sohih?

Berderai gelak tawa kami. Masing-masing menuding diri Taliban. Sebegitu mudah kami memahami maksud pejuang Taliban dan mengapa kumpulan itu menggelarkan diri mereka begitu. Tidak perlu google.

Jujurnya, ada rasa kecewa di hati kami apabila guru yang diharapkan mengajar kami, tidak berdiri di hadapan kami.
Jujurnya juga, kami masih berharap guru berbangsa Melayu untuk mengajar kami.
Bukan racist, tetapi lebih selesa barangkali.

Tapi perancangan Tuhan itu maha bijaksana. Menjangkau apa yang kami rasakan adalah yang terbaik untuk kami.
Kun fayakun.

Tiga bahasa digunapakai di sepanjang pembelajaran kami.
Bagi yang lemah bahasa Arab seperti aku, banyak perbendaharaan kata difahami.
Bagi yang mungkin lemah bahasa Inggerisnya, ia seperti serampang dua mata. Berpeluang pelajari dua bahasa serentak.
Bagi Murabbi kami yang sangat sedikit pengetahuan bahasa Melayunya, ia juga peluang untuk menambah kosa kata.

Murabbi tertawa, mendengar sebutan Arab sebahagian besar kami.
Kami juga tertawa, mendengar sebutan pelat Melayunya.
Tertawa juga apabila pelbagai slang bahasa Inggeris dilantunkan sesama kami.

“Wahai manusia, sesungguhnya kami telah ciptakan kalian dari lelaki dan perempuan dan kami telah jadikan kalian berbangsa-bangsa dan bersuku-puak agar kalian saling berkenalan. Sesungguhnya yang paling mulia di kalangan kamu di sisi Allah ialah yang paling bertaqwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui Lagi Maha Mendalam PengetahuanNya”  (Hujurat :13)

Harmoni.
Ia bukan satu kebetulan. Ia adalah asbab untuk kami saling mengenali bahasa dan bangsa. Juga untuk saling menghormati. Semuanya atas tujuan yang sama - menambah ILMU. Moga-moga ia menjadi ilmu yang bermanfaat bukan sahaja untuk diri sendir tetapi untuk orang-orang di sekeliling.


Friday, September 6, 2013

Jemputan Eksklusif Sebagai VVIP

Seringkali, kita melihat para kehormat diberi layanan istimewa sebagai seorang VIP atau barangkali juga VVIP. Kita pula? IP (Important Person) pun kadangkala belum tentu.

Ini bukan pokok persoalan yang ingin aku perkatakan. Tetapi ia tentang bagaimana menjadi hamba berstatus VIP di sisi Tuhan yang Esa. Ia boleh dicapai oleh aku, kamu, jiran sebelah rumah, rakan sepejabat malah sesiapa juga selagi dia bergelar manusia yang beriman. Yang bertaqwa. Bukankah itu impian kita semua?

Ia tidak susah. Malah tidak juga mudah. Siapa VIP yang aku maksudkan?

Dari kacamata aku dan ilmu yang tidak sempurna ini, para VIP ini ialah orang-orang yang bangun di sepertiga malam. Di kala orang lain lena diulit damai malam. Bermunajat, semata-mata mencari redha Allah Ar-Rahman Ar-Rahim. Ia satu-satunya waktu eksklusif antara kita dan Dia. Dan ia anugerah untuk hambaNya yang terpilih. Bukankah itu juga rezeki yang tidak diberikan kepada setiap kita ini? Hanya mereka berstatus VIP sahaja kan?


Dan bukankah Allah itu sangat dekat dengan kita? Bicaralah apa sahaja di sepertiga malam. Di waktu susah dan senang.

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka katakanlah sesungguhnya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan doa orang yang memohon apabila ia memohon kepadaKu. Maka hendaklah mereka memenuhi perintahKu, dan beriman kepadaKu agar mereka mendapat petunjuk" (Al-Baqarah : 186)

"...Dan kami lebih dekat kepadanya dari urat lehernya" (Qaf : 16)

Subhanallah.
Alhamdulillah.
Allahu Akhbar.

Aku ingin menjadi VIP itu. Sudah pasti, ia satu mujahadah yang hebat untuk memulakannya. Berjuang melawan nafsu dan bisikan syaitan yang durjana. Kemudian nanti, bersungguh pula untuk istiqamah, menjadikannya ibadah berterusan selagi hayat dikandung badan.

Untuk apakah semua ini? 
Cinta. Itu barangkali ungkapan yang paling tepat.

Kamu pula, bagaimana?

Tanyalah iman dalam diri. Semoga iman dan cinta itu bersatu, menjadikan kita VVIP untuk bertemu dengan kekasih hati, di syurga firdausi.

Sungguh, Allah Maha Mengetahui.


Tuesday, July 23, 2013

Cinta Tanpa Syarat

Subhanallah.

Itu kalimah pertama yang terbit dari bibir apabila ustaz mengajak kami mentadabbur Al-Quran dari sudut bahasa. Ia ilmu baru di sepanjang lebih tiga puluh tahun hidupku. Janji Tuhan itu benar, tidak ada jalan lain untuk mencintaiNya selain dari jalan ilmu. Aku jatuh cinta instantly apabila ustaz mengajak kami untuk berfikir bahawa ayat-ayat Al-Quran - binaan suku katanya, susunan ayatnya, malah di setiap kesinambungan cerita itu ada rahsia yang sungguh-sungguh indah. Ayat-ayat cinta dari yang Maha Esa. Bukankah begitu?

Ia sebuah cerita ringkas yang dikaji ketika waktu rehat. Tentunya, ini adalah saat yang ditunggu-tunggu oleh kami semua. Kejahilan rupanya telah lama bersarang dalam dada.

Melihat surah al-Fatihah, ustaz mengajak kami berfikir sejenak kalimah Basmallah. Kemudian menyusuri bait-bait ayat sehingga ke ayat keenam. Bagaimana yang dikatakan jalan yang lurus. Hidayah? Petunjuk? Yang bagaimana yang dimaksudkan itu?

Okay, jom kita belek terjemahan surah Al-Fatihah;


Hampir kesemua kami menjawab jalan lurus itu berkait rapat dengan ayat terakhir surah ini. 

"Benar, itu benar. Tetapi yang bagaimana  dimaksudkan dengan orang yang telah dikurniakan nikmat itu. Nikmat apa?" tanya ustaz.

Kami bagaikan anak kecil yang berlumba-lumba menjawab apa sahaja yang terlintas di fikiran. Tidak kisah samada betul atau salah. 

"Allah jawab nikmat itu ialah orang yang beriman dan bertakwa. Bagaimana yang dimaksudkan dengan orang bertakwa? Nah, mari kita lihat surah berikutnya" 


Serta merta ada oooo.... Ha'ah laaa.... dari kami.

"Setelah Allah berikan nikmat iman itu, apa pula seterusnya?"

Bila dah part ni, kami tak berlumba dah. Makin ketara kejahilan kami terhadap Al-Quran yang selama ini dibaca. Baca tanpa ilmu.

"Allah tahu kita semua akan lalai dan leka. Lalu, dalam surah berikutnya, Allah turunkan ayat ini kerana Allah Maha Mengetahui."


Subhanallah. Subhanallah. 
Tiada kata seindah bahasa. Tiada bahasa seindah Al-Quran.

"Belajarlah bahasa. Fahami bagaimana susunan kata itu dibina. Barulah nanti, ayat-ayat ini akan menggetarkan jiwa."
Kata-kata akhir dari ustaz bagai terngiang-ngiang di telinga hingga ke hari ini.

Ia masih terlalu awal untuk kami benar-benar memahami bahasa Arab ini. Tidak mengapa, sekurang-kurangnya ia langkah pertama untuk kami mengenali diri. Dan untuk mengenali diri, aku yakin...kita harus terlebih dahulu mengenali Pencipta yang menciptakan diri ini.

Wallahu'alam.

Monday, July 1, 2013

Al-Lughatul Arabia

Gadis Jordan di sebelahku menyapa. Bertanya soalan agaknya. Ku tutup AlQuran yang sedang ku baca. Dan tersenyum memandangnya.

Aku : Saya tidak boleh berbahasa Arab.
Gadis itu : Eh? Kenapa tak boleh? Tapi kamu boleh membaca Al-Quran.
Aku : Ya, saya boleh membaca tapi saya tidak boleh bertutur.
Gadis itu : Habis tu, bagaimana kamu memahami apa yang kamu baca?*

* dialog setelah di alihbahasa.

Terasa seperti diriku dilempang laju-laju. Bersungguh aku menunjukkan kitab tafsir yang ku baca. Dia masih keliru. Soalannya masih berkisar kenapa aku boleh membaca Al-Quran dengan baik (mengikut perkiraannya) tetapi tidak memahami apa yang di baca. 

Pertemuan singkat itu benar-benar membuka minda dan hatiku. Di sepanjang usiaku, kalimah-kalimah ini melantun dari bibirku, namun hanya lewat kebelakangan ini sahaja aku mula mengintai dan mencari apa yang tersurat dan tersirat. Allah ya Rahman, segala puji untukMu yang memberikan ilham dan keinginan untukku mempelajari bahasa ini.
Bahasa Al-Quran.
Bahasa syurga.
Kalamullah.

"(Dan) Sesungguhnya Kami mengetahui mereka berkata: 'Bahawasanya Al-Quran itu diajarkan oleh seorang manusia kepadanya (Muhammad). Padahal bahasa orang yang mereka tuduhkan (bahwa) Muhammad belajar kepadanya (adalah) bahasa 'ajami (bukan-Arab), sedangkan Al-Quran itu dalam bahasa Arab yang jelas" (Surah An-Nahl :103)

Perbualan santai itu telah 4 tahun berlalu. 
Impian itu tidak pernah pudar, apalagi terpadam.
Benar, ia lahir dari rasa cinta. Moga-moga cinta itu akan membawaku ke Syurga.

Aku mohon maghfirahMu Ya Rabb.

Saturday, June 22, 2013

Back to school

Memasuki kampus hari ini, sungguh-sungguh mengimbau kenangan lalu. Sejurus melepasi pak guard di pintu masuk UM pagi tadi, tanpa sedar airmata mengalir seketika. Teruja barangkali. Airmata gembira? Alhamdulillah, bersyukur kerana Allah berikan nikmat masa untukku. Harap-harapnya ia akan menjadi ilmu yang bermanfaat.

Day 1 - Kalut di pagi hari, kelas bermula tepat jam 830am. 
Ok, biasalah aku lambat. Tercari-cari fakulti yang letaknya jauh di hujung dunia.  Masa tu lah nak masuk kelas, masa tu juga lah terhegeh-hegeh nak mendaftar. Lagipun hujung minggu kan adalah waktu untuk ME Time katanya. 

Heh, rupanya menuntut ilmu itu besar sungguh pengorbanannya. Aku memang respect dengan kekawan yang ada semangat kental untuk belajar. Lebih-lebih lagi di usia sebegini. Malas, nafsu tido, rasa teruja berperang sesama sendiri.

2 bulan yang bakal mengujakan diriku, insya Allah. 

Vietnam Trip : Mui Ne, Dalat dan HCMC

"Kau pernah dengar Mui Ne dan Da Lat?" "Kat mana tu? Tak pernah dengar pun." "Vietnam. Ada tiket murah RM277. Kau...