Friday, July 31, 2009

Bandung : 25 - 28 Julai 2009

Bandung terletak 180km dari Jakarta merupakan antara 5 daerah utama di Kepulauan Jawa. Juga dikenali sebagai Paris Van Java. Tetiba aku teringin untuk pergi ke Kepulauan Sumatera. Mungkin tahun hadapan, sekiranya diizinkan Tuhan :)

Kami sampai di kota Bandung lebih kurang pukul 8:10 p.m. Kami terus check-in di Hotel Karmila di Jalan Dago dan kemudian terus beradu (konon nak simpan tenaga untuk perjuangan pada keesokan hari).



Pasar Baru

Kalau di tanya kepada mana-mana perempuan warga Malaysia, rasanya jarang yang tidak pergi ke sini. Tetapi kalau ditanya kepada lelaki, pasti gelengan kepala berlaku secara automatik. Apapun, kami bertiga tidak lama di Pasar Baru. Mungkin sebab dah berhabis-habisan di Tanah Abang, maka di Pasar Baru ini kami hanya sekadar membuat perbandingan harga. Dan antara tujuan utama untuk mencari Tailor. Orang kata, upah membuat baju di sini murah. Gigih lah kami keluar-masuk kedai bertanya kos upah untuk menjahit seluar.

Kami makan tengahari di kedai Pak Che Met di Foodcourt Pasar Baru. Aku lebih menyukai makanan Sunda berbanding masakan Padang. Ikan Gurame Bakar antara menu utama yang pasti di order. Bersama Jus Alpukat (Avocado) yang sangat yummy! Di kedai ini ada Paket A,B,C,D. Boleh pilih mengikut kesukaan masing-masing. Harga juga sangat berpatutan. Kami bertiga makan hanya sekitar IDR150,000...Kenyang sehingga ke esok pagi!

Pengangkutan utama yang paling kami gemari di Bandung ialah menaiki Angkutan. Murah. Hanya IDR2,000.

Kota Kembangan

Dari Pasar Baru, kami terus menuju ke Kota Kembangan dengan menaiki beca untuk membeli DVD movies yang sangat-sangat murah. Beli 10 gratis 2, sekeping berharga IDR5,000. Murah kan? Pada asalnya aku hanya mahu membeli sekeping dua sahaja, tetapiiiii.....hamik kauu... 50 keping DVD yang diborong oleh kami bertiga!! beserta 11 keping yang diberi percuma! Selepas ini kalau aku beritahu betapa sibuknya jadual, korang pasti tahu apa aktiviti aku, kan? Yang pasti aku ada full set of Detective Conan series, yayyyyy!

Rumah Mode

Ini antara Factory Outlet (FO) yang sangat popular di Bandung. Sempat juga aku menyambar sehelai jeans. Aku sekadar menghabiskan waktu duduk di bangku di luar Rumah Mode sementara menunggu pasangan suami isteri itu membeli-belah. Sebenarnya aku tidak mahu terjebak membeli barang yang tiada keperluan. Pembaziran itu bukankah amalan syaitan? Huhuhu

Kami dinner di Java Bean cafe. Beriya-iya aku nak makan mee kocok tapi rupanya aku tersalah order. Kecewa. Sungguh kecewa.

Bale Anak/Heritage/Cascade/Rabbani FO

Di sini lah kami berjalan-jalan pada hari kedua di Bandung. Untuk memudahkan pergerakan, kami menyewa Suzuki Arena untuk tempoh satu hari (sekali dengan supir).

Kampung Daun

Selama bertahun, aku mendengar keistimewaan tempat makan ini. Akhirnya, tercapai juga cita-cita untuk menikmati makanan dan merasai sendiri keistimewaan Kampung Daun. Tetapi kalau di tanya kembali kepada kami, err... indah khabar dari rupa! Mungkin kerana kami bertiga ini orang yang sangat simple. Tidak perlu pergi jauh-jauh untuk makan. Asalkan sedap dan dekat, itu sudah memadai. Tapi adakala pengalaman tidak boleh dijual beli. Itu mungkin penyebab kami pergi ke Kampung Daun. Namun untuk pergi sekali lagi, mungkin tidak. Apapun, jika kembali lagi ke Bandung, aku pasti sekali ingin pergi ke Sapu Lidi dan Dapur Sangkuriang. Sekadar ingin mencuba. Jika berbaloi pada harga dan keenakan makanannya, pasti kembali lagi. Suasananya damai, tenang. Dipenuhi pepohon hijau. Mungkin itu sebabnya dinamakan Kammpung Daun. Tempat Musolla juga ada disediakan. Bersih dan kemas. Tapi awas, air paipnya tersangatlah sejuk.

Pemandangan menyusuri ke Kampung Daun sebenarnya menarik. Di kiri kanan jalan boleh dilihat kebun-kebun sayur. Kata Pak A'a (supir kami) di kawasan ini dimiliki oleh orang-orang kaya Cina. Memang boleh di lihat banglo sebesar-besarnya dari tepi jalan. Kaya. Memang sungguh kaya.

Roger's Spa

Selepas kekenyangan, kami meneruskan agenda. Kali ini Spa. Kami sudah bertanya kepada pekerja hotel malah kepada Pak A'a, mereka kurang arif tempat-tempat seperti ini. Jadinya, kami ke Roger's Spa sahaja. Hanya buat hair treatment dan Facial. Tidak, bukan lulur melulur. Tidak juga pedicure manicure. Berbaloi-baloi harganya :)

DSE Factory

Ketika sampai di sini, azan Maghrib sudah berkumandang. Aku pula sudah hilang mood gara-gara selsema tiba-tiba datang menjenguk. Sekadar menebeng di kerusi menunggu dua lagi rakan membeli-belah. DSE ini terletak di Jalan Dago. Bagi mereka yang bertubuh besar, banyak pilihan pakaian boleh di cari di sini.

Pak Che Met Outlet

Makan lagi. Aku sebenarnya masih kekenyangan. Sesuatu yang pasti perutku memang well behaved kalau pergi melancong. Tidak mengaruk, tidak minta selalu diisi. Teringat semasa di Bandung setahun lalu:

"Kau tak lapar ke?" Nana tetiba bertanya kat aku.
Sempat aku mengerling ke jam. Baru pukul 11 lebih. Uish...tengahari pun belum, kenapa pula nak lapar?

"Tak. Perut aku memang bijak. Lagipun kalau melancong, makan memang bukan agenda utama aku. Kagum tak?"
"Agak jugak lah".

Agak hairan bila Nana mengadu lapar. Dia bukan orang yang kerap mengadu lapar. Bukan seperti aku yang memang suka makan. Err.. sebenarnya aku memang sangat popular sebagai kaki makan. Mengunyah non-stop?

Berbalik kepada cerita makan malam, kami memang teringin bebenar makan di Outlet Pak Che Met. Mungkin menu nya lebih variasi. Apabila sampai, our first impression were good. Kedainya besar. Teratur. Ada live band setiap hari Isnin dan Rabu. Dan kebetulannya, kami sampai pada hari Isnin. Akan tetapi, apabila melihat pada menu, agak mengecewakan juga lah. Mungkin expectation kami terlalu tinggi. Jus buah pun tak banyak pilihan. Mungkin kami membuat perbandingan dengan Branch di Pasar Baru (tapi orang kata kot ya pun nak buat perbandingan, jangalah bezakan Foodcourt dengan restoren yang berhawa dingin,kan?). Atau sebenarnya kami ini cerewet? Hahaha Nak makan yang sedap, tapi murah dan selesa.

Yang paling membazir, aku makan tak habis. Isk, sudahlah mahal, tak habis pula. Bukan tak sedap tapi aku masih lagi kekenyangan. Kalau berjalan, makan memang bukan agenda utama. Eh, macam dah cerita dah tadi? Huhuhu

Hajat di hati ingin ke Kartika Sari untuk membeli kek coklat kukus tidak kesampaian. Ingin melihat lukisan-lukisan di Jalan Braga jugak tidak berkesempatan. Hanya sempat buat lintas hormat sahaja. Lagipun kami kekurangan cash. Kami terus bergerak pulang ke hotel untuk bersiap sedia mahu kembali ke tanahair pada keesokan hari. Sempat juga kami berbual kosong dengan Pak A'a tentang kehidupan di Bandung. Tersentuh hati mendengar kisah hidupnya. Dia bekerja dari jam 8 pagi hingga 9 malam, membawa kami menjelajah ke seluruh kota, tapi hanya di bayar upah IDR75,000 daripada IDR500,000 yang kami bayar untuk sewa kereta. Sehari suntuk, tapi sebegitu sahaja upahnya? Jika tiada mengambil upah memandu kereta sewa, dia mengambil upah membersihkan masjid. Anak yang paling kecil berumur 16 tahun. Entah kenapa, dengan Pak A'a kami tidak bertanya tentang Indonesia, atau tentang pemimpinnya, atau semangat juang bangsanya, tapi kami lebih bertanya kepada persoalan peribadinya. Jauh di sudut hati, kami sebenarnya bersyukur pada nikmat yang Allah beri kepada kami.

Esoknya, kami kembali lagi ke Pasar Baru. Tujuannya hanya satu, ingin menghabiskan rupiah yang ada. Ini barulah dikatakan kehendak melampaui keperluan. Kami berusaha membeli seadanya, tetapi umpama ombak yang menghempas pantai, begitulah juga perumpaan kami membeli-belah di saat akhir. Daripada asal hajat di hati nak membeli sehelai dua, pulang ke hotel dengan beg plastik yang di usung kiri dan kanan. Hebat, kan?

Urusan imigrasi di Hussain SasteraNegara Airport tidak lama. Tapi yang mengambil masa selama hampir 2 jam ialah urusan bagasi dengan AirAsia. Gila! Ini semua gara-gara access baggage lah hehe

Secara keseluruhan, Bandung mungkin bukan lagi tempat yang menarik untuk aku lawati. Mungkin kerana aku sudah mengetahui apa yang aku mahu, apa barang yang boleh dibeli dan di cari. Mungkin ada yang bertanya, kenapa tak pegi ke Terminal Tas? Summit? Diaz? Donatello? Victoria Secret? Kami pernah marathon pada tahun pertama hampir ke seluruh FO, Boutiques, dan segala. Kali ini kami sudah kecilkan skop kami.

Yang pasti, kami meninggalkan bumi Indonesia dengan perut yang lapar. Tak sempat nak lunch gara-gara urusan bagasi yang sangat lama. Harapan untuk memakan nasi lemak Pak Nasir di dalam pesawat juga hancur berkecai kerana pesawat kami bukan datang dari Kuala Lumpur. Yang ada hanya Mee Segera.
Mee Segera ABC.
Ironi kan?

Thursday, July 30, 2009

Jakarta : 24 - 25 Julai 2009

Jakarta oh Jakarta! Kami kembali lagi seperti tahun-tahun sebelumnya. Bukan kerana cinta pada keindahannya tapi lebih kepada tujuan untuk membeli-belah…dan belajar sedikit sejarah perjuangan Indonesia yang sungguh besar …dengar ceritanya. Apatah lagi dengan kes pengeboman berani mati yang berlaku seminggu yang lalu. Jika kali pertama pergi 2 tahun yang lalu kami agak gamble, tahun lepas pula aku lebih menjadi pemandu pelancong kepada rakan-rakan (ya, rombongan Mbak Aijah seramai 13 orang!). Kebanyakannya rakan sekerja termasuk juga boss aku. Kiranya pada masa tu, department aku hampir tutup kedai lah bila ramai ahli mesyuarat tingkapnya bercuti serentak (bayangkan, kami memohon pre-approval dari COO kami kerana hampir suku pekerja mahu cuti bersama-sama.)

“Mak aii, korang semua nak pergi ke bulan beramai-ramai ke sampai apply cuti 8 bulan awal?”

LULUS! Tapi bergantung kepada apa yang akan berlaku 8 bulan kemudian lah.



2009, percutian kami lebih santai. Hanya bertiga. Tapi dalam santai tak santai kaedahnya, hotel di Jakarta tetap tak dibuat tempahan. Malah di Bandung pun aku hanya membuat tempahan 2 hari sebelum berlepas. Sekali lagi, perkataan gamble memang sangat sinonim dengan kami? Heheh Adakah ini dipanggil kegagalan pengurusan masa? Atau mungkin terasa diri ini hebat kerana masa pertama kali dulu pun gamble, setara pergi kali ketiga tentulah tiada masalah? Barangkali.

Seperti tahun-tahun yang sudah juga, kami mengambil penerbangan pertama pesawat AirAsia iaitu jam 6:50 a.m. Meredah sejuk beku pagi, kami selamat tiba di Soekarno-Hatta Airport dua jam kemudian. Seperti biasa juga, ulat-ulat (pemandu-pemandu teksi) mula mencari sasaran. BlueBird…Bluebird, kami berbisik sesama sendiri. Tapi yang ada kaunter Silver Bird. Oh itu rupa-rupanya. Kalau beriya-iya mencari juga kaunter Blue Bird, alamatnya memanglah duduk kat terminal sampai 5 hari kemudian. Blue Bird..Blue Bird, kami dah seolah-olah berzikir pula. Sebenarnya, tidak mahu kesilapan lalu diulang. Bukankah orang yang melakukan kesilapan yang sama itu adalah orang yang bodoh? Entah di mana aku pernah mendengar orang menyebutnya begitu.

Tapi penyudahnya, kami menaiki kereta sapu milik Pak Rahman kerana dia sahaja yang menawarkan harga yang murah (IDR150,000). Dan kami menaiki Mercedez Benz meredah sinar pagi kota Jakarta *wink*. Tak tahu lah ini pilihan terbaik atau mungkin sememang takdirnya begitu, kami dipertemukan dengan Pak Rahman yang bercakap tanpa henti di sepanjang perjalanan. Katanya dia lama menetap di Kuala Lumpur. Dan menyebut beberapa tempat sebagai bukti dia pernah berada di Malaysia. Dan bersungguh menyebut perkataan yang dihujung A jadi E (DIA jadi dierrr, apa jadi aperrr)

“Kenapa pulang ke Indonesia, Pak?” soalan ditanya sekadar berbahasa.
"Indonesia ini BAHAGIA”.

Aku sekadar menterjemahnya sebagai : Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik lagi di negeri sendiri. Siapa yang tidak cintakan tanahairnya? Lebih-lebih lagi rakyat Indonesia yang memperjuangkan kemerdekaan melalui pertumpahan darah. Jiwa yang kental. Tidak seperti Malaya yang mencapai kemerdekaan melalui perundingan. Dia turut mengakui tentang kemelut kemiskinan dan kerakusan pemimpinnya yang sangat tegar, tapi semangat cintakan tanahairnya begitu ketara dari tutur yang keluar dari mulutnya. Di tambah kesungguhannya menggunakan Bahasa Malaysia di celah-celah dialek Indonesia-nya.

“Hidup ini indahnya pada mimpi.”

Tiba-tiba Pak Rahman setelah bercakap tentang agama, tentang segala pekerjaannya, tentang Indonesia dan sempat ala-ala memberi ceramah agama kepada kami.

“Mimpi?”
“Iya deh, kerna bila kita tidur, mimpi itu kan indah. Tidak perlu difikirkan masalah hidup. Mimpi itulah indahnya hidup.”

Habis tu, dah kalau mimpi dikejar raksasa bagai...atau mimpi kena bunuh, indahkah? Errr… aku hanya mengomel dalam hati sahaja lah.

Pak Rahman membawa kami ke Hotel Istana Ratu di Jalan Jaksa (tidak jauh dari kebiasaan Hotel Rota yang kami pernah menginap). Lebih murah katanya, dan lebih selesa. Indeed, he was true. Not bad at all and way better than Rota Hotel. Kami memang sengaja memilih hotel yang berdekatan dengan Tanah Abang iaitu di Jalan Wahid Hasyim. Kebanyakan supir memang tahu jalan ini kerana ada Hotel Ibis yang terkenal itu, berdekatan pula dengan Sarinah (Kompleks), tidak jauh dari Jalan Sabang (Begitulah yang kami sebut kepada mana-mana supir setiap kali mahu pulang ke hotel). Malah sebenarnya, tidak jauh juga dari MONAS (Monumen Nasional).

Tanah Abang

Ini adalah destinasi pertama kami dan tujuan utama kami datang ke Jakarta. Blok A (disebut AA di Indonesia). Membeli barang grosir atau secara pukal. Sama seperti Pasar Baru di Bandung, Jakarta pula terkenal dengan Tanah Abang untuk membeli barang grosir. Pak Rahman yang menghantar kami (dengan menambah tambang RM10). Dan seperti hebatnya sejarah perjuangan rakyat Indonesia, begitu jugalah hebatnya kesesakan jalan raya di Jakarta. Macet!!! Tapi Pak Rahman memecah kesunyian dengan bercerita tanpa henti. Kali ini dia bertanya pula nama-nama kami. Berdasarkan nama, dia cuba menilai kami. Kamu ini begini begitu. Kamu pula itu ini. Dan kamu ini, KERAS. Wah, pendek sahaja penilaiannya. Tapi penilaian dari kacamata orang yang berpengalaman seperti dia, kami hanya sekadar tertawa kecil. Kemudian dia bercerita tentang keluarganya. Siap tunjukkan lagi gambar isterinya yang berbangsa Jepun.

Kami juga ke blok F dalam pencarian kain ela. Mencari bahan, bak kata orang-orang di sini.

Banyak juga rupiah yang kami laburkan di Tanah Abang. Ada 9 tingkat keseluruhannya (di sini di sebut Lantai). Sebut sahaja apa kemahuan hati, macam-macam ada. Janganlah pula mencari Kasut Gombak, tentulah tiada. Atau tiba-tiba nak mencari beg jenama Leno, aku rotan kau di situ juga. Kalau nak sahut seruan kempen Belilah Barangan Malaysia, apa kes pula kau datang ke Jakarta? Kan? Ok sambung cerita...dari kain ela, ke baju kebaya, ke kain lace, chiffon, ke lycra, spandex pun ada. Err…Ini baru lah betul kalau mahu membuat perbandingan di antara kain di Jakel dengan kain di kedai-kedai di sini…Meraung juga lah perbezaan harga...Kain telekung, kasut, handbag, semua pun ada. Di sini lah tempat untuk menguji tahap kesatria tawar menawar. Atau mahu menguji kesaktian Bahasa Indonesia dah tahap mana. Kalau nampak sign Obrol, jangan lah mengada-ngada nak tawar (Obrol = Best Buy). Itu harga dah diskaun lah tu. Atau kalau dengar mereka menyebut:

“Nggak bisa mbak, ini harga pass”. Meroyan minta kurang pun tak akan diberi.

Apa yang penting? Oh bukan kerjasama. Tak perlu itu semua. Duitnya sahaja yang perlu disediakan. Kartu kredit? Lupakan lah. Di sini hanya menerima transaksi tunai. Dan kalau tidak pernah tertipu bila membeli, itu namanya Abnormal. Hehehe kami tertipu juga oleh ulat yang membawa kami ke blok sebelah. Blok F. Banyak juga perbezaan harga. Ralat? Sudah tentu lah. Pengalaman? Itu yang paling bernilai (katanya...) Oh aku hampir terlupa, kalau mahu meralatkan diri sendiri, pun boleh! Bagaimana? Beli lah baju di kedai A, lepas tu nampak baju yang serupa di kedai C, buat-buatlah tanya harga. Kalau tak sumpah diri sendiri, itu juga aku panggil ABNORMAL.

Lunch kami? KFC. Di Lantai 8. Ya, seperti tahun sebelumnya, begitulah. Bila tak tahu nak makan apa, di tambah pula kerisauan halal-haram makanannya, pilihan terbaik ialah makanan segera yang terjamin status halalnya (sekurang-kurangnya lah). Kami seringkali diingatkan tentang orang-orang Indonesia yang kelihatannya serumpun, sebangsa, tapi mereka ini belum tentu seagama. Walaupun Indonesia mempunyai umat Islam paling ramai di antara penduduk dunia, itu juga bukan satu jaminan makanan di situ kesemuanya halal. Itu aku. Kalau orang lain tak peduli dengan itu, makan sahajalah apa yang ada di depan mata. Tidak ada salahnya. Prinsip hidup itu kan terpulang pada diri masing-masing? :)

Ini juga pengalaman pertama kami kehujanan di sini. Meredah hujan dengan selamba (dalam hati sempat gak berdetik nasib baik awning tudungku kain shantong! Kalau Thai silk, bersiap sedialah melihat awning itu kerepot dengan sendirinya). Disebabkan Hujan = Kesesakan Jalan Raya hampir di seluruh dunia, dan juga kesulitan mendapatkan teksi, kami menaiki Bajaj (di sebut Bajai) untuk pulang ke hotel. Lebih kurang macam tut-tut di Thailand itu lah. Memang sangat mendebarkan. Pemandu Bajaj memang menyusup-nyasap di celah kereta, motorsikal, di tepi bas atau sebolehnya lah mereka menyelit. Secara spontan, aku pun akan mengecilkan diriku, boleh? HAHAHAHAAH Berbaloikah memperjudikan nyawa sebegitu? Err... berbaloi lah kot dari duduk dalam kesesakan jalan raya berjam-jam lamanya?

ITC Cempaka Mas

Kebanyakan kedai di Jakarta beroperasi sehingga pukul 5:00 p.m. Maksud aku, di pasar-pasar lah. Shopping Complex sehingga pukul 9 malam. Selepas bertanya kepada beberapa orang tempat yang masih beroperasi di malam hari, kami bergerak ke ITC Cempaka Mas sejurus selepas Maghrib. Tujuan asal hanya untuk mengisi masa terluang, melihat keindahan malam di kota Jakarta tapi apa yang berlaku sebaliknya. Kami membeli barang-barang kecantikan pula heheh Barang-barang kosmetik. Dari pencuci muka, ke bedak, ke deodorant! Inilah yang dikatakan Shopaholic? Penjual itu sebenarnya yang pandai menjual, dan kami pula memang dilahirkan sebagai perempuan yang mudah terpedaya kepada fitnah kecantikan! hiks

Tak sempat dah kami nak merayau-rayau di ITC Cempaka Mas ini. Dinner? A&W (Di sini di sebut A-We). Ya, pasti kecewa kan kerana kami ini tidak adventerous? Bab makan, memang tidak. Bab lain untuk memperjudikan nasib, memanglah Ngetop!

Mayestik

Di sinilah halatuju kami pada hari kedua. Tidak seperti di Tanah Abang di mana deretan kedainya bertingkat-tingkat, Mayestik pula kedudukan kedainya berderet-deret di sepanjang jalan. Macam-macam ada. Tapi kami mencari kedai yang menjual kain ela. Selepas menyusuri beberapa kedai, kami akhirnya berkampung di Mumbay Tekstil. Lebih murah berbanding yang lainnya. Di sinilah juga aku melihat untuk kali pertama tukang jahit berada di satu lantai yang sama. Sebelah menyebelah. Hampir seluruhnya begitu. Yang menjahit kain, menjahit manik, semuanya bersusun. Aku terlupa untuk mengambil gambar mereka.

Kami menaiki teksi. Kali ini pak supirnya berjiwa IndonesiaRaya. Sempat kami berbual-bual bercerita perihal politik Indonesia. Topik yang sangat menakutkan, bukan? Dia bercerita tentang asal kota Jakarta yang hanya ada beberapa bangunan sahaja. Sebelum Soeharto mengambil alih tampuk pemerintahan dan membawa kapitalis-kapitalis Barat. Meminggirkan anak bangsa dalam pembangunan negara. Dia bercerita kisah Jakarta di era 70-an dan 80-an. Menunjukkan kami satu-satunya bangunan lama yang masih kekal iaitu Bangunan Grand Indonesia. Ibarat menjolok sarang tebuan, kami bertanya di mana Marriot Hotel dan Ritz Carlton. Wah, terus bersemangat dia!

"Itu memang harus di bom tempat itu. Runtuh terus lagi bagus!"

Sentimen perkauman masih jelas kekal dari nada suaranya. Kemudian dia menyambung cerita ketika rusuhan perkauman di Indonesia. Dan kebetulan kami memang melalui tempat yang dimaksudkannya.

Apa yang aku lihat dan pelajari, Indonesia sebenarnya masih lagi terjajah. Dari artikel yang pernah aku baca, Indonesia meminjam wang dari IMF ketika kegawatan ekonomi yang menyebabkan hutang negara berbillion rupiah. Dalam diam, aku bersyukur menjadi warga Malaysia. Hidup berharmoni di antara kaum. Sekalipun politik tetap bergolak, tetapi tidak sehebat pergolakan di negara-negara jiran. Umat Islam tertindas. Bangsa tertindas. Ada kala, melihat maruah dan jati diri tergadai. Keperitan hidup (malah aku seolah boleh menghirup kepayahan hidup kota Jakarta) membuat aku bersyukur pada apa yang dianugerahkan Tuhan kepadaku. Kepada negara Malaysia ini. Bangsa Melayu di Malaysia sebenarnya masih bernasib baik.

Dari Mayestik, kami kembali ke hotel untuk check-out dan terus menuju ke Stesen Keretapi Gambir (Stasiun KA). Walaupun sudah 3x ke Jakarta, ini kali pertama kami menaiki keretapi menuju ke Bandung. (Kali pertama dulu kami menaiki Trafel atau van, kali kedua disebabkan ramai, kami telah menyewa MPV sedari awal).

Sebut pasal Trafel, aku masih teringat pengalaman pertama di negara orang. Setelah bertanya kepada beberapa orang, kami menaiki Trafel yang tiketnya boleh di beli di Mc Donald di Bangunan Sarinah. Agak kecewa juga, kerana kami terpaksa duduk berhimpit-himpit selama hampir 3 jam. Kami kemudiannya disuruh turun di satu tempat yang tidak diketahui. Kalut. Buntu. Kalau tak silap kami diturunkan di tempat bernama Batu Gua atau Gua Batu. Entah. Tapi bayangkan, ketika azan Maghrib berkumandang, kami terpinga-pinga di tepi jalan, tidak tahu berada di bumi yang mana. Tidak tahu mahu menghala ke mana. Kami betul-betul berada di simpang empat di pekan itu. Ke kanan kah? Ke kiri? Atau berjalan terus? Alternatifnya pastilah teksi. Tetapi bukan mudah untuk mendapatkan teksi. Takut? Itu sudah pasti kerana kami memang kelihatan asing. Hari pula semakin gelap. Orang yang memandang memang tahu kami bukan orang Indonesia. Mujur, ada seorang pakcik bertanya dan tolong menahankan teksi untuk kami. Apa yang kami bimbangkan ialah, kami tidak tahu berapa jauh Bandung dari tempat kami, dan yang paling risau, kami tidak membuat sebarang tempahan hotel. Yang ada di minda cuma Hotel Karmila. Kalau fully booked? Heh, nak sangat gamble kan? Rasakan!

Dan di situlah berakhirnya cerita kamera Nikon milikku. Rasanya aku tertinggal di dalam teksi itu. Maka tiadalah gambar-gambar terlampau yang sempat aku ambil untuk dijadikan kenangan. Sedih.

Itu cerita tahun 2007. Ini tahun 2009. Mestilah ada peningkatan kan? Jalan cerita mestilah lebih menarik pastinya. Hehehe Kali ini kami ingin menaiki keretapi. Ada dua jenis di Jakarta ini. KA Parahyangan dan Argo Gede. Harga berbeza, kelas nya juga pastilah berbeza. Kalau KA Parahyangan itu, ada dua kelas iaitu Kelas Bisnis dan Kelas Eksekutif. Jangan perasan lah Kelas Bisnis tu macam kapal terbang ya. Kelas Bisnis tiada penghawa dingin (disebut A-Ser). Macam Bas lompat-lompat begitu. Ada tingkap di mana lembut sang bayu bisa menerjah dan menampar ke pipi. Boleh menyebabkan selsema (untuk orang seperti aku lah). Kelas Eksekutif ada aircond. Itu sahaja bezanya. Malang sekali, dah penuh. Maka kami tiada pilihan selain KA Argo Gede. Tiada kelas-kelas. Semua pun eksekutif. Tiket berharga IDR55,000. Aku bandingkan kedua-dua train ini seperti AirAsia dengan MAS lah. Jadinya, bayangkanlah sendiri. Di KA Argo Gede,ada pelayan yang menghidang makanan. Ada orang yang melayan. Ada TV. Akan diberi roti dan air mineral. Kalau mahu makan nasi goreng pun boleh. Bayar sahajalah. Ok lah kan. Sayang sekali, train kami pukul 5:40 p.m. Tak lama bergerak, hari sudah senja. Gelap. Terlepaslah nak menyaksikan keindahan bumi Indonesia. Tidak dapat kami melihat terowong yang dibina semasa pemerintahan Belanda. Tapi kalau perjalanan siang hari pun, rasanya kami hanya belasah tidur sahaja. Mimpi itu indah, kan?

Thursday, July 23, 2009

Jakarta - Bandung

Esok aku akan berangkat ke Jakarta-Bandung. Ini merupakan kembara kali ketiga aku sejak 2 tahun yang lalu. Apa istimewanya negara jiran ini hingga aku berulangkali pergi? Kami memanggilnya Shopping Trip, kerana agenda utama pergi ke sana adalah untuk membeli belah. Ya, kami bukan warganegara yg menyahut seruan kempen Belilah Barangan Buatan Malaysia. Pengaliran wang keluar? Errr...kat Malaysia pun tak beli jugak barang buatan tempatan, jadi tak lah rasa bersalah kan? I vote for quality first, brand later.

Kali pertama pergi pada tahun 2007. Oh, itu merupakan detik bersejarah kerana memang kami berdua terjah kota Jakarta dan Bandung, hanya berbekalkan kertas A4 berisi segala maklumat. Disebabkan kedua-dua kami tersangat sibuk dan tiket pulak seperti biasa booked a year ealier, maka persediaan hanya di buat pada ala kadar (tapi of course lah tanya kekawan sana sini pengalaman masing-masing).

"Eh, kita tak book hotel lagi, cemana ni?"
Dahlah ini kali pertama pergi oversea, tak book hotel pula? Tak ke itu agak gila namanya?

"Kita GAMBLE je."

Dan ya, kami memang memperjudikan diri berada di negara orang. Sesampai sahaja di Soekarno-Hatta International Airport (atau dikenali sebagai Bandara), kami dah tertipu oleh pemandu teksi. Memang biasa agaknya, 'ulat' ada di mana-mana, untuk approached kita naik teksi mereka. Teksi yang kami naik tu overcharged. Mahal ah. Padahal rakan taulan, sanak saudara sudah berpesan, jangan naik teksi lain selain BLUEBIRD. Takpe, ini barulah dipanggil pengalaman hidup (padahal nak sedapkan hati je). Walau dalam hati ada rasa kesal.

Aku sempat bertanya pada pemandu teksi tempat-tempat yang ada di sekitar Jakarta (ya, kami ada list yang panjang tempat-tempat yang harus di tuju di Jakarta. Tapi persoalannya, nak mula dari mana? Buntu.

"Nona berdua kali pertama datang Jakarta?"
"Ya!" Serentak kami menjawab.
"Ada teman nggak?"
"Nggak ada."
"Hotelnya sudah ada?"
"Nggak."
"Waduh, nona ini berani sekali datang ke mari nggak punya teman, nggak punya hotel yang mahu di tuju."

Kami sekadar sengih macam kerang busuk.

Kami berhenti betul-betul di hadapan Ibis Tamarin Hotel, tidak jauh sebenarnya dari Bangunan Monas. Dengan rasa yakin, kami masuk bertanya rate hotel. Berubah muka raasnya bila mendengar harga sebab mahal (walau hanya IDR450K, tapi sebagai budget traveller seperti kami, rate itu mahal). Apa yang berlaku? Aku terkonyong-konyong lemah. Kemudian sesi kami keluar-masuk hotel di kawasan sekitar untuk bertanya rate (dah owh, memang malu diperhatikan oleh orang-orang Indonesia yang kehairanan melihat kami).

Tiba-tiba mata kami terpaku kepada satu hotel yang kecil - Rota Hotel.

"Jomlah masuk dan tanya. DAN check-in. Kalau tengok dari luar, tak mahal kot?"

Di situlah kami menginap untuk 1 hari bermalam di kota besar Jakarta. Lega rasanya kerana ada penginapan.

Itu pengalaman kali pertama menjejakkan kaki menjadi Pelancong di bumi Indonesia. Banyak yang aku ingin kongsikan(tapi dulu takde blog walaupun kerap baca blog orang). Bezanya trip kali ini, agak risau dengan kes pengeboman Jakarta beberapa hari yang lalu. Juga dengan virus H1N1 yang semakin berleluasa ketika ini.

Kata orang, kita perlu belajar dari pengalaman.
Tapi aku? Esok seawal 650am sudah berada dalam flight, tapi sehingga sekarang masih tak reti2 nak book hotel di Jakarta. Alasan nya... busy? (Iyolaaahhhhh tuuuu...)

ps: Will combine all the 3 times trip once I get back next week. Err... if time permits! huhu
pps: Pray for my safe journey! Jakarta, wait for me!

Tuesday, July 14, 2009

Jiwa Tersentuh...

Sejak kebelakangan ini, mood membaca aku membuak-buak. Kebetulan mungkin, aku punya masa untuk membaca maka beberapa buku menjadi pilihan.

1. Ketika Cinta Bertasbih (Episod I & II)
2. Airmata di Pintu Baitullah
3. The Kite Runner (ada orang kata watch the movie first, then read.. so that's what I did hehehe the book is on my bookcase though, soon to be read insylh)
4. Mukjizat Cinta (in progress)

Rembesan airmata yang tiada henti lah. Banyak pengajaran yang aku dapat dari cerita Ketika Cinta Bertasbih terutama pencarian Azzam untuk menjadik jodohnya. Sekalipun jodoh, ajal dan maut seseorang telah ditentukan olehNya, tetapi usaha berterusan dilakukan tanpa henti oleh Azzam (we shall do the same I guess, if we want to get something). Aku tersentuh apabila di saat dia ingin menggapai bahagia, ibunya pula kembali ke rahmatullah. Ujian dan dugaan dihadapi dengan tabah.

Airmata di Pintu Baitullah adalah koleksi kisah-kisah yang berlaku di Mekah pada musim Haji, sebagai pengajaran dan pedoman. Ada beberapa kisah yang sangat menyentuh hatiku, memberi ruang untuk diri ini berfikir. Dan seterusnya bersyukur kerana diberi peluang untuk mempelajari segala ilmu.

The Kite Runner. Owh.. perasaan sebak bermula dari seawal cerita. Kisah persabahatan yang tiada tandingannya. Agak terkejut juga melihat bagaimana hukuman hudud dilaksanakan di Afganistan (ditunjukkan dalam filem itu bagaimana hukuman rejam dijalankan ke atas orang yang melakukan adultery). Juga terpesona dengan watak Hassan yang begitu protective dan sangat loyal. Juga mengimbau kenangan masih kecil bermain layang-layang bersama rakan-rakan. Ada pengajaran yang boleh di ambil bagi yang mahu melihat dengan mata hati.

Kebelakangan ini aku agak mudah tersentuh (miss touching tu gelaran untuk Yahani, bukan aku) hehehe

Dan lagu ini? Mengundang kenangan yang cukup indah. Ketika aku ter'bumped into this song', kenangan bumi Makkah terus bersemi. Teringat kata-kata mutawwif:

"Para jemaah sekalian, sekarang ini kita telah meninggalkan Tanah Haram Makkah. Ini adalah sempadan di antara tanah haram dan tanah halal."

Ketika itu aku memang sedang melayan perasaan. Bilakah aku akan kembali lagi ke sini? Bila tiba-tiba mutawwif kami mendendangkan lagu Doa Perpisahan.


Pertemuan kita di suatu hari
Menitikkan ukhuwah yang sejati
Bersyukurku kehadap Illahi
Di atas jalinan yang suci

Namun kini perpisahan yang terjadi
Dugaan yang menimpa diri
Bersabarlah diatas suratan
Kutetap pergi jua

Kan kuutuskan salam ingatanku
Dalam doa kudusku sepanjang waktu
Ya Allah bantulah hamba-Mu

Mencari hidayah dari pada-Mu
Dalam mendidikan kesabaranku
Ya Allah tabahkan hati hamba-Mu
Di atas perpisahan ini

Kan kuutuskan salam ingatanku
Dalam doa kudusku sepanjang waktu
Ya Allah bantulah hamba-Mu

Senyuman yang tersirat di bibirmu
Menjadi ingatan setiap waktu
Tanda kemesraan bersimpul padu
Kenangku di dalam doamu
Semoga... Tuhan berkatimu


Menangis dalam diam. Barangkali hampir seluruh para jemaah begitu. Semoga mutawwif kami menjadi seorang Mutarrabbi. Dan kemudiannya menjadi Murabbi kepada pencinta ilmu. Semoga Allah sentiasa melindungi dan merahmatinya. Itu doa kami (atau setidaknya, itu doaku.)

Aku ingin kembali lagi.
Senjatanya adalah DOA.
Insya Allah.

Vietnam Trip : Mui Ne, Dalat dan HCMC

"Kau pernah dengar Mui Ne dan Da Lat?" "Kat mana tu? Tak pernah dengar pun." "Vietnam. Ada tiket murah RM277. Kau...