Sunday, May 17, 2009

Kembara diri

Selama ini aku seringkali mendengar orang berkata tentang lambaian Kaabah. Rasa terpanggil yang tidak tertahan-tahan. Agaknya itu yang aku rasa di ketika ini. Airmata bergenang antara syukur dan takut. Takut pada apa? Aku sendiri tidak pasti. Tapi kita sememangnya perlu ada rasa takut dan berharap dalam diri kan? Jiwa seolah sudah tiada lagi di sini. Ingin benar aku menjadi tetamuNya. Ingin benar aku menjejakkan kaki ke sana. Moga-moga dipermudahkan segala urusan.

Panggilan telefon dari rakan taulan, dari ahli keluarga berdering sehari dua ini. Ucapan doa dan harapan... mereka panjatkan untuk kembara kali ini. Ya, tiada kenduri doa selamat. Atau solat hajat berjemaah. Tiada. Malah untuk ke Airport esok pun, aku sudah berpesan kepada kakak ipar, tidak perlu ambil cuti untuk menghantarku. Cukuplah sekadar mendoakan aku selamat pergi dan pulang. Di amankan perjalanan. Sihat tubuh badan. Dan diterima segala amalan. Aku juga berharap kembara kali ini untuk aku menyusuri kembali diri sendiri.

Teringat pula beberapa hari yang lalu, seorang rakan meminta maaf segala bagai. Minta dihalalkan yang mana terlebih dan terkurang. Wah, terus aku bertanya, kenapa dah macam lagu Rabbani - Pergi Tak Kembali?? Owh...takut tak? Teringat pula dia ke Australia berminggu-minggu tidak pula bermaafan segala. Ironi? Benar, Mekah adalah tempat suci untuk penyucian diri dari segala dosa. Mungkin itu yang dia maksudkan. Aku berharap satu hari nanti, dia juga akan menuruti jejak langkah ini.

Esok, seawal 8:00am harus berkumpul di KLIA. Untuk urusan passport,visa dan boarding pass. Mungkin ada sedikit taklimat kepada para jemaah. Kami dijangka berlepas pada jam 11:30 am dan di jangka tiba di Bahrain pada pukul 2:05 pm waktu tempatan. Transit 3 jam sebelum penerbangan berikutnya ke Jeddah. Dari Jeddah, kami akan menaiki bas ke Madinah melalui padang pasir yang luas terbentang. Atau mungkin bermalam di Bahrain. Segalanya berkemungkinan. Ya, perjalanan yang jauh dan panjang. Aku tak kisah, cuma berharap perjalanan Jeddah-Madinah di siang hari. Aku ingin menikmati indahnya bumi Anbia'.

Ini kembara pertama aku ke tanah haram.
Aku harap ia bukan yang terakhir.

1 comment:

ebikko said...

esok da nak balik dah... :)

Vietnam Trip : Mui Ne, Dalat dan HCMC

"Kau pernah dengar Mui Ne dan Da Lat?" "Kat mana tu? Tak pernah dengar pun." "Vietnam. Ada tiket murah RM277. Kau...