Tuesday, February 15, 2011

Mencari Erti Cinta

Ketika zaman kanak-kanak, apabila dikaitkan sahaja dengan sambutan maulidur rasul, nasyid tentang kelahiran nabi pasti ada dalam setiap sambutan.

Malam isnin subuh yang indah
12 rabiul awal yang cerah
20 April Tahun Gajah
Lahirlah zuriat dan shahadah


Mencari Cinta

Seingat aku,pengenalan sirah nabi bermula sekitar umur 9tahun (darjah 1 untuk pelajar berusia 9 tahun bermula untuk sek agama rakyat di johor). Subjek Tarawikh (sekarang dikenali sebagai Sirah) antara silibus awal aku belajar tentang kelahiran rasul,salasilah baginda (ibu dan ayah, datuk dan bapa saudara Nabi). Tentang sifat-sifat Nabi, sifat Al-Amin dan segala sejarah awal kerasulan nabi Muhammad s.a.w. Meningkat remaja, sirah itu dipertingkatkan dengan peristiwa isra' dan mi'raj, pembukaan kota Mekah sehinggalah kisah kewafatan Nabi.

Itu silibus sekolah. Kekal dalam ingatan tetapi tidak penah aku memahami maksud cinta. Acapkali ustaz/ustazah menanamkan dalam diri untuk cintakan Rasul. Bagaimana? Cinta aku kepada Rasul? Perasaan itu tetap ditakuk sama sehingga usia aku meningkat ke alam dewasa. Sambutan Maulidur Rasul disambut kerana ingin meraikan kemeriahannya bersama rakan-rakan sewaktu bergelar mahasiswa. Berpakaian warna Merah sebagai mewakili kolej. Walaupun berselawat mengelilingi seluruh kampus hampir setiap tahun, roh cinta itu tidak pernah terbit. Kemenangan pakaian/perarakan tercantik menjadi kenangan indah. Jahil? Tidak, kerana sirah nabi tetap tersemat di minda, tapi bukan di hati.

Ia kekal begitu bertahun-tahun lamanya.

Bagaimana mahu mencintai orang yang tidak pernah aku temui? Suatu ketika, perasaan ingin mencari cinta berputik lalu aku membeli buku setebal 3 inci untuk menyusuri kembali sirah kekasih Allah itu. Bukan satu, tetapi dua.


kredit foto : al-Fikrah.net

Buku itu kekal berhabuk di raknya. Sesekali aku bersihkan kerana aku alergik debu.

Tak Kenal Maka Tak Cinta?

Aku sudah kenal. Tetapi di mana cinta itu?

May 2009, Allah beri kesempatan untuk aku menjadi tetamuNya. Berpeluang untuk mengembara ke Tanah Haram Mekah dan Madinah. Aku ingin mencari keredhaan sebagai hambaNya. Di situ, aku temui CINTA yang tidak pernah aku rasakan sepanjang 30 tahun aku bergelar umatnya.

Berdiri di bumi yang beribu tahun yang lalu menyaksikan kelahiran, kerasulan, suka dan duka perjuangan nabi menyedarkan aku tentang cinta yang tidak pernah wujud itu. Sepanjang 10 hari di sana, aku mula merasakan kehadiran cinta itu. Kemuncaknya adalah ketika aku menaiki Jabal Nur. Melihat sayup-sayup dari jauh sinaran Masjidil Haram dari puncak bukit. Aku membayangkan nabi berjalan kaki sahaja. Ketika itu lebih kurang 12 tengah malam. Angin bertiup perlahan. Damai. Itu yang kurasakan. Aku sujud syukur di tempat nabi bersujud. Terasa seolah dahi kami bertemu pada batu bukit yang gelap tapi disinari cahaya malam. Kepayahan aku mendaki, merasai sendiri kepenatan perjalanan dari mekah-madinah-mekah (walaupun menaiki bas), menerbitkan rasa yang entah di mana sebelum ini berada.

Perasaan itu sukar digambarkan. Kutitip kalimah:

"Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah, dan aku bersaksi bahawa Muhammad itu Pesuruh Allah"

Dia Muhammad.
Dia Kekasih Allah.
Dia Pemberi syafaat.

Berkata Malaikat Israfil a.s :
“Mereka yang berselawat kepadamu akan aku sujud kepada Allah dan aku tidak akan mengangkat kepalaku sehingga Allah mengampuni orang itu.”


Hari ini adalah Sambutan Maulidur Rasul untuk tahun 1432H.

No comments:

Mencari hidayah di bumi Barakah Part I

Mekah dan Madinah, bumi barakah yang digelar Haramain.  Bumi yang sentiasa dirindui oleh para pengunjungnya. Bumi yang tiada bandingan dek k...