Jakarta oh Jakarta! Kami kembali lagi seperti tahun-tahun sebelumnya. Bukan kerana cinta pada keindahannya tapi lebih kepada tujuan untuk membeli-belah…dan belajar sedikit sejarah perjuangan Indonesia yang sungguh besar …dengar ceritanya. Apatah lagi dengan kes pengeboman berani mati yang berlaku seminggu yang lalu. Jika kali pertama pergi 2 tahun yang lalu kami agak gamble, tahun lepas pula aku lebih menjadi pemandu pelancong kepada rakan-rakan (ya, rombongan Mbak Aijah seramai 13 orang!). Kebanyakannya rakan sekerja termasuk juga boss aku. Kiranya pada masa tu, department aku hampir tutup kedai lah bila ramai ahli mesyuarat tingkapnya bercuti serentak (bayangkan, kami memohon pre-approval dari COO kami kerana hampir suku pekerja mahu cuti bersama-sama.)
“Mak aii, korang semua nak pergi ke bulan beramai-ramai ke sampai apply cuti 8 bulan awal?”
LULUS! Tapi bergantung kepada apa yang akan berlaku 8 bulan kemudian lah.
2009, percutian kami lebih santai. Hanya bertiga. Tapi dalam santai tak santai kaedahnya, hotel di Jakarta tetap tak dibuat tempahan. Malah di Bandung pun aku hanya membuat tempahan 2 hari sebelum berlepas. Sekali lagi, perkataan gamble memang sangat sinonim dengan kami? Heheh Adakah ini dipanggil kegagalan pengurusan masa? Atau mungkin terasa diri ini hebat kerana masa pertama kali dulu pun gamble, setara pergi kali ketiga tentulah tiada masalah? Barangkali.
Seperti tahun-tahun yang sudah juga, kami mengambil penerbangan pertama pesawat AirAsia iaitu jam 6:50 a.m. Meredah sejuk beku pagi, kami selamat tiba di Soekarno-Hatta Airport dua jam kemudian. Seperti biasa juga, ulat-ulat (pemandu-pemandu teksi) mula mencari sasaran. BlueBird…Bluebird, kami berbisik sesama sendiri. Tapi yang ada kaunter Silver Bird. Oh itu rupa-rupanya. Kalau beriya-iya mencari juga kaunter Blue Bird, alamatnya memanglah duduk kat terminal sampai 5 hari kemudian. Blue Bird..Blue Bird, kami dah seolah-olah berzikir pula. Sebenarnya, tidak mahu kesilapan lalu diulang. Bukankah orang yang melakukan kesilapan yang sama itu adalah orang yang bodoh? Entah di mana aku pernah mendengar orang menyebutnya begitu.
Tapi penyudahnya, kami menaiki kereta sapu milik Pak Rahman kerana dia sahaja yang menawarkan harga yang murah (IDR150,000). Dan kami menaiki Mercedez Benz meredah sinar pagi kota Jakarta *wink*. Tak tahu lah ini pilihan terbaik atau mungkin sememang takdirnya begitu, kami dipertemukan dengan Pak Rahman yang bercakap tanpa henti di sepanjang perjalanan. Katanya dia lama menetap di Kuala Lumpur. Dan menyebut beberapa tempat sebagai bukti dia pernah berada di Malaysia. Dan bersungguh menyebut perkataan yang dihujung A jadi E (DIA jadi dierrr, apa jadi aperrr)
“Kenapa pulang ke Indonesia, Pak?” soalan ditanya sekadar berbahasa.
"Indonesia ini BAHAGIA”.
Aku sekadar menterjemahnya sebagai : Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, baik lagi di negeri sendiri. Siapa yang tidak cintakan tanahairnya? Lebih-lebih lagi rakyat Indonesia yang memperjuangkan kemerdekaan melalui pertumpahan darah. Jiwa yang kental. Tidak seperti Malaya yang mencapai kemerdekaan melalui perundingan. Dia turut mengakui tentang kemelut kemiskinan dan kerakusan pemimpinnya yang sangat tegar, tapi semangat cintakan tanahairnya begitu ketara dari tutur yang keluar dari mulutnya. Di tambah kesungguhannya menggunakan Bahasa Malaysia di celah-celah dialek Indonesia-nya.
“Hidup ini indahnya pada mimpi.”
Tiba-tiba Pak Rahman setelah bercakap tentang agama, tentang segala pekerjaannya, tentang Indonesia dan sempat ala-ala memberi ceramah agama kepada kami.
“Mimpi?”
“Iya deh, kerna bila kita tidur, mimpi itu kan indah. Tidak perlu difikirkan masalah hidup. Mimpi itulah indahnya hidup.”
Habis tu, dah kalau mimpi dikejar raksasa bagai...atau mimpi kena bunuh, indahkah? Errr… aku hanya mengomel dalam hati sahaja lah.
Pak Rahman membawa kami ke Hotel Istana Ratu di Jalan Jaksa (tidak jauh dari kebiasaan Hotel Rota yang kami pernah menginap). Lebih murah katanya, dan lebih selesa. Indeed, he was true. Not bad at all and way better than Rota Hotel. Kami memang sengaja memilih hotel yang berdekatan dengan Tanah Abang iaitu di Jalan Wahid Hasyim. Kebanyakan supir memang tahu jalan ini kerana ada Hotel Ibis yang terkenal itu, berdekatan pula dengan Sarinah (Kompleks), tidak jauh dari Jalan Sabang (Begitulah yang kami sebut kepada mana-mana supir setiap kali mahu pulang ke hotel). Malah sebenarnya, tidak jauh juga dari MONAS (Monumen Nasional).
Tanah Abang
Ini adalah destinasi pertama kami dan tujuan utama kami datang ke Jakarta. Blok A (disebut AA di Indonesia). Membeli barang grosir atau secara pukal. Sama seperti Pasar Baru di Bandung, Jakarta pula terkenal dengan Tanah Abang untuk membeli barang grosir. Pak Rahman yang menghantar kami (dengan menambah tambang RM10). Dan seperti hebatnya sejarah perjuangan rakyat Indonesia, begitu jugalah hebatnya kesesakan jalan raya di Jakarta. Macet!!! Tapi Pak Rahman memecah kesunyian dengan bercerita tanpa henti. Kali ini dia bertanya pula nama-nama kami. Berdasarkan nama, dia cuba menilai kami. Kamu ini begini begitu. Kamu pula itu ini. Dan kamu ini, KERAS. Wah, pendek sahaja penilaiannya. Tapi penilaian dari kacamata orang yang berpengalaman seperti dia, kami hanya sekadar tertawa kecil. Kemudian dia bercerita tentang keluarganya. Siap tunjukkan lagi gambar isterinya yang berbangsa Jepun.
Kami juga ke blok F dalam pencarian kain ela. Mencari bahan, bak kata orang-orang di sini.
Banyak juga rupiah yang kami laburkan di Tanah Abang. Ada 9 tingkat keseluruhannya (di sini di sebut Lantai). Sebut sahaja apa kemahuan hati, macam-macam ada. Janganlah pula mencari Kasut Gombak, tentulah tiada. Atau tiba-tiba nak mencari beg jenama Leno, aku rotan kau di situ juga. Kalau nak sahut seruan kempen Belilah Barangan Malaysia, apa kes pula kau datang ke Jakarta? Kan? Ok sambung cerita...dari kain ela, ke baju kebaya, ke kain lace, chiffon, ke lycra, spandex pun ada. Err…Ini baru lah betul kalau mahu membuat perbandingan di antara kain di Jakel dengan kain di kedai-kedai di sini…Meraung juga lah perbezaan harga...Kain telekung, kasut, handbag, semua pun ada. Di sini lah tempat untuk menguji tahap kesatria tawar menawar. Atau mahu menguji kesaktian Bahasa Indonesia dah tahap mana. Kalau nampak sign Obrol, jangan lah mengada-ngada nak tawar (Obrol = Best Buy). Itu harga dah diskaun lah tu. Atau kalau dengar mereka menyebut:
“Nggak bisa mbak, ini harga pass”. Meroyan minta kurang pun tak akan diberi.
Apa yang penting? Oh bukan kerjasama. Tak perlu itu semua. Duitnya sahaja yang perlu disediakan. Kartu kredit? Lupakan lah. Di sini hanya menerima transaksi tunai. Dan kalau tidak pernah tertipu bila membeli, itu namanya Abnormal. Hehehe kami tertipu juga oleh ulat yang membawa kami ke blok sebelah. Blok F. Banyak juga perbezaan harga. Ralat? Sudah tentu lah. Pengalaman? Itu yang paling bernilai (katanya...) Oh aku hampir terlupa, kalau mahu meralatkan diri sendiri, pun boleh! Bagaimana? Beli lah baju di kedai A, lepas tu nampak baju yang serupa di kedai C, buat-buatlah tanya harga. Kalau tak sumpah diri sendiri, itu juga aku panggil ABNORMAL.
Lunch kami? KFC. Di Lantai 8. Ya, seperti tahun sebelumnya, begitulah. Bila tak tahu nak makan apa, di tambah pula kerisauan halal-haram makanannya, pilihan terbaik ialah makanan segera yang terjamin status halalnya (sekurang-kurangnya lah). Kami seringkali diingatkan tentang orang-orang Indonesia yang kelihatannya serumpun, sebangsa, tapi mereka ini belum tentu seagama. Walaupun Indonesia mempunyai umat Islam paling ramai di antara penduduk dunia, itu juga bukan satu jaminan makanan di situ kesemuanya halal. Itu aku. Kalau orang lain tak peduli dengan itu, makan sahajalah apa yang ada di depan mata. Tidak ada salahnya. Prinsip hidup itu kan terpulang pada diri masing-masing? :)
Ini juga pengalaman pertama kami kehujanan di sini. Meredah hujan dengan selamba (dalam hati sempat gak berdetik nasib baik awning tudungku kain shantong! Kalau Thai silk, bersiap sedialah melihat awning itu kerepot dengan sendirinya). Disebabkan Hujan = Kesesakan Jalan Raya hampir di seluruh dunia, dan juga kesulitan mendapatkan teksi, kami menaiki Bajaj (di sebut Bajai) untuk pulang ke hotel. Lebih kurang macam tut-tut di Thailand itu lah. Memang sangat mendebarkan. Pemandu Bajaj memang menyusup-nyasap di celah kereta, motorsikal, di tepi bas atau sebolehnya lah mereka menyelit. Secara spontan, aku pun akan mengecilkan diriku, boleh? HAHAHAHAAH Berbaloikah memperjudikan nyawa sebegitu? Err... berbaloi lah kot dari duduk dalam kesesakan jalan raya berjam-jam lamanya?
ITC Cempaka Mas
Kebanyakan kedai di Jakarta beroperasi sehingga pukul 5:00 p.m. Maksud aku, di pasar-pasar lah. Shopping Complex sehingga pukul 9 malam. Selepas bertanya kepada beberapa orang tempat yang masih beroperasi di malam hari, kami bergerak ke ITC Cempaka Mas sejurus selepas Maghrib. Tujuan asal hanya untuk mengisi masa terluang, melihat keindahan malam di kota Jakarta tapi apa yang berlaku sebaliknya. Kami membeli barang-barang kecantikan pula heheh Barang-barang kosmetik. Dari pencuci muka, ke bedak, ke deodorant! Inilah yang dikatakan Shopaholic? Penjual itu sebenarnya yang pandai menjual, dan kami pula memang dilahirkan sebagai perempuan yang mudah terpedaya kepada fitnah kecantikan! hiks
Tak sempat dah kami nak merayau-rayau di ITC Cempaka Mas ini. Dinner? A&W (Di sini di sebut A-We). Ya, pasti kecewa kan kerana kami ini tidak adventerous? Bab makan, memang tidak. Bab lain untuk memperjudikan nasib, memanglah Ngetop!
Mayestik
Di sinilah halatuju kami pada hari kedua. Tidak seperti di Tanah Abang di mana deretan kedainya bertingkat-tingkat, Mayestik pula kedudukan kedainya berderet-deret di sepanjang jalan. Macam-macam ada. Tapi kami mencari kedai yang menjual kain ela. Selepas menyusuri beberapa kedai, kami akhirnya berkampung di Mumbay Tekstil. Lebih murah berbanding yang lainnya. Di sinilah juga aku melihat untuk kali pertama tukang jahit berada di satu lantai yang sama. Sebelah menyebelah. Hampir seluruhnya begitu. Yang menjahit kain, menjahit manik, semuanya bersusun. Aku terlupa untuk mengambil gambar mereka.
Kami menaiki teksi. Kali ini pak supirnya berjiwa IndonesiaRaya. Sempat kami berbual-bual bercerita perihal politik Indonesia. Topik yang sangat menakutkan, bukan? Dia bercerita tentang asal kota Jakarta yang hanya ada beberapa bangunan sahaja. Sebelum Soeharto mengambil alih tampuk pemerintahan dan membawa kapitalis-kapitalis Barat. Meminggirkan anak bangsa dalam pembangunan negara. Dia bercerita kisah Jakarta di era 70-an dan 80-an. Menunjukkan kami satu-satunya bangunan lama yang masih kekal iaitu Bangunan Grand Indonesia. Ibarat menjolok sarang tebuan, kami bertanya di mana Marriot Hotel dan Ritz Carlton. Wah, terus bersemangat dia!
"Itu memang harus di bom tempat itu. Runtuh terus lagi bagus!"
Sentimen perkauman masih jelas kekal dari nada suaranya. Kemudian dia menyambung cerita ketika rusuhan perkauman di Indonesia. Dan kebetulan kami memang melalui tempat yang dimaksudkannya.
Apa yang aku lihat dan pelajari, Indonesia sebenarnya masih lagi terjajah. Dari artikel yang pernah aku baca, Indonesia meminjam wang dari IMF ketika kegawatan ekonomi yang menyebabkan hutang negara berbillion rupiah. Dalam diam, aku bersyukur menjadi warga Malaysia. Hidup berharmoni di antara kaum. Sekalipun politik tetap bergolak, tetapi tidak sehebat pergolakan di negara-negara jiran. Umat Islam tertindas. Bangsa tertindas. Ada kala, melihat maruah dan jati diri tergadai. Keperitan hidup (malah aku seolah boleh menghirup kepayahan hidup kota Jakarta) membuat aku bersyukur pada apa yang dianugerahkan Tuhan kepadaku. Kepada negara Malaysia ini. Bangsa Melayu di Malaysia sebenarnya masih bernasib baik.
Dari Mayestik, kami kembali ke hotel untuk check-out dan terus menuju ke Stesen Keretapi Gambir (Stasiun KA). Walaupun sudah 3x ke Jakarta, ini kali pertama kami menaiki keretapi menuju ke Bandung. (Kali pertama dulu kami menaiki Trafel atau van, kali kedua disebabkan ramai, kami telah menyewa MPV sedari awal).
Sebut pasal Trafel, aku masih teringat pengalaman pertama di negara orang. Setelah bertanya kepada beberapa orang, kami menaiki Trafel yang tiketnya boleh di beli di Mc Donald di Bangunan Sarinah. Agak kecewa juga, kerana kami terpaksa duduk berhimpit-himpit selama hampir 3 jam. Kami kemudiannya disuruh turun di satu tempat yang tidak diketahui. Kalut. Buntu. Kalau tak silap kami diturunkan di tempat bernama Batu Gua atau Gua Batu. Entah. Tapi bayangkan, ketika azan Maghrib berkumandang, kami terpinga-pinga di tepi jalan, tidak tahu berada di bumi yang mana. Tidak tahu mahu menghala ke mana. Kami betul-betul berada di simpang empat di pekan itu. Ke kanan kah? Ke kiri? Atau berjalan terus? Alternatifnya pastilah teksi. Tetapi bukan mudah untuk mendapatkan teksi. Takut? Itu sudah pasti kerana kami memang kelihatan asing. Hari pula semakin gelap. Orang yang memandang memang tahu kami bukan orang Indonesia. Mujur, ada seorang pakcik bertanya dan tolong menahankan teksi untuk kami. Apa yang kami bimbangkan ialah, kami tidak tahu berapa jauh Bandung dari tempat kami, dan yang paling risau, kami tidak membuat sebarang tempahan hotel. Yang ada di minda cuma Hotel Karmila. Kalau fully booked? Heh, nak sangat gamble kan? Rasakan!
Dan di situlah berakhirnya cerita kamera Nikon milikku. Rasanya aku tertinggal di dalam teksi itu. Maka tiadalah gambar-gambar terlampau yang sempat aku ambil untuk dijadikan kenangan. Sedih.
Itu cerita tahun 2007. Ini tahun 2009. Mestilah ada peningkatan kan? Jalan cerita mestilah lebih menarik pastinya. Hehehe Kali ini kami ingin menaiki keretapi. Ada dua jenis di Jakarta ini. KA Parahyangan dan Argo Gede. Harga berbeza, kelas nya juga pastilah berbeza. Kalau KA Parahyangan itu, ada dua kelas iaitu Kelas Bisnis dan Kelas Eksekutif. Jangan perasan lah Kelas Bisnis tu macam kapal terbang ya. Kelas Bisnis tiada penghawa dingin (disebut A-Ser). Macam Bas lompat-lompat begitu. Ada tingkap di mana lembut sang bayu bisa menerjah dan menampar ke pipi. Boleh menyebabkan selsema (untuk orang seperti aku lah). Kelas Eksekutif ada aircond. Itu sahaja bezanya. Malang sekali, dah penuh. Maka kami tiada pilihan selain KA Argo Gede. Tiada kelas-kelas. Semua pun eksekutif. Tiket berharga IDR55,000. Aku bandingkan kedua-dua train ini seperti AirAsia dengan MAS lah. Jadinya, bayangkanlah sendiri. Di KA Argo Gede,ada pelayan yang menghidang makanan. Ada orang yang melayan. Ada TV. Akan diberi roti dan air mineral. Kalau mahu makan nasi goreng pun boleh. Bayar sahajalah. Ok lah kan. Sayang sekali, train kami pukul 5:40 p.m. Tak lama bergerak, hari sudah senja. Gelap. Terlepaslah nak menyaksikan keindahan bumi Indonesia. Tidak dapat kami melihat terowong yang dibina semasa pemerintahan Belanda. Tapi kalau perjalanan siang hari pun, rasanya kami hanya belasah tidur sahaja. Mimpi itu indah, kan?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Mencari hidayah di bumi Barakah Part I
Mekah dan Madinah, bumi barakah yang digelar Haramain. Bumi yang sentiasa dirindui oleh para pengunjungnya. Bumi yang tiada bandingan dek k...
-
Best ke Vietnam? Apa ada kat sana? Murah ke? As compared Bandung, mana lagi murah? Kau pernah pergi China? murah sangat-sangat kan? Ini anta...
-
Ini merupakan kali keempat aku ke HCMC. Jangan kau tanya kenapa, tapi ini adalah salah satu syurga shopping untukku :) Kali ini aku pergi be...
-
Sejak beberapa tahun ini, seorang sahabat sangatlah beriya untuk mengembara bersamaku. Dan setiap kali dia mendengar aku bercuti ke mana-man...
2 comments:
kenapa makin lama ku baca mcm bahasa indon jadinya. *wink*
btw kak, next year pls include my name ku nak ikuuuuuuuuuuuuuuuuuut
err, aku pun turut membaca sekali lagi...
1. sebab aku berusaha sedaya mungkin utk menulis dalam bahasa melayu
2. kesungguhan bertutur dialek indon semasa 5hari kat sana masih terbawa-bawa kot?
ps: bole ke nk pegi dgn ada bb kecil itu nnti?
Post a Comment